fbpx
Eng Lai ketika melakukan proses pelupusan bunga api dan mercun di Stor Barang Kes di IPD Sentul, Kuala Lumpur di sini hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF

Mercun, bunga api RM4.1 juta dilupuskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,059 kotak dan juga 35 guni mercun pelbagai jenis dilupuskan di Stor Barang Kes Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, barangan dianggarkan bernilai RM4,172,000 itu merupakan hasil rampasan dari dua buah premis di MWE Commercial Park dan Taman Kepong pada 24 Mac lalu.

“Pelupusan mercun dan bunga api tanpa kebenaran bagi penyimpanan dan jualan ini dibuat setelah selesai siasatan dan pendakwaan serta mendapat arahan daripada mahkamah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 74 Peraturan-peraturan Bahan Letupan 1957. Susulan rampasan itu, polis membuat tangkapan ke atas lima suspek berusia 21 hingga 51 tahun,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Eng Lai berkata, siasatan mendapati suspek berselindung di sebalik kawasan perindustrian dan rumah persendirian yang dipercayai beroperasi sejak dua tahun lepas.

“Seorang suspek berusia 51 tahun dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 29 Mac lalu dan mengaku bersalah,” ujarnya.

Permohonan pelupusan dibuat pada 18 April lalu dan diluluskan  Majistret Fardiana Arianti Ahmad Razali.

“Proses pelupusan dijalankan dengan kaedah membasahkan mercun dan bunga api sebelum dimusnahkan menggunakan jengkaut,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN