Kejadian tular di media sosial tindakan Theberge baru-baru ini.

‘Mat Salih’ tular maki pengawal, tidak pakai pelitup muka didenda RM800

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing yang tular selepas memaki pengawal keselamatan setelah ditegur kerana tidak memakai pelitup muka di sebuah pasar raya pada bulan lalu, didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret S. Mageswary menjatuhi hukuman itu terhadap Theberge Travis Lee, 44, selepas warga Kanada tersebut mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Sekiranya gagal menbayar denda, Theberge boleh dipenjara selama 15 hari. Tertuduh membayar denda tersebut.

Tertuduh yang bekerja dalam industri minyak dan gas didakwa menunjukkan isyarat lucah terhadap pengawal keselamatan dengan tujuan untuk membangkitkan kemarahan dan menganggu keamanan pukul 9.30 malam, 16 April lalu di sebuah pasar raya di Jalan Ampang di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM100.

Theberge turut didakwa tidak memakai pelitup muka dan dituduh mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2022 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 18(1) akta sama pada waktu dan tarikh sama.

Peraturan itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-dua sekali.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhi hukuman denda RM100 manakala denda RM700 bagi pertuduhan kedua.

Terdahulu, peguam bela, Jayaranda Rao.Rao memberitahu anak guamnya masih bujang dan menanggung tiga beradiknya yang masih menetap di Kanada.

“Tertuduh minta maaf atas kejadian yang berlaku pada hari tersebut yang sememangnya merupakan satu tindakan yang bodoh dan melulu. Selepas mengetahui insiden tersebut telah tular, anak guam saya ke balai polis bagi membetulkan keadaan.

“Tertuduh memberi kerjasama penuh. Apabila diberitahu untuk hadir ke mahkamah hari ini, tertuduh hadir sendiri dan mengaku salah. Ini menjimatkan masa mahkamah,” kata peguam terbabit.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Nasuha Safian memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajarannya dan juga masyarakat.

Kosmo! Online 19 April lalu melaporkan polis menahan seorang lelaki warga Kanada yang didakwa tidak memakai pelitup muka termasuk memaki pengawal keselamatan yang bertugas di sebuah pasar raya, sekitar Jalan Ampang.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN