PETALING JAYA – Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) khuatir ahli-ahlinya akan menarik diri daripada meneruskan operasi selepas Aidilfitri ini berikutan kenaikan kos dan kesukaran untuk mendapatkan pekerja.
Setiausahanya, Siti Normah Md. Desa berkata, pengusaha kantin sekolah kini bergelut dengan kenaikan kos bahan mentah melebihi 50 peratus dan 30 peratus kos upah pekerja.
“Sejak dua bulan lalu, seramai lapan pengusaha kantin telah menarik diri dan saya percaya jumlah sebenar yang berbuat demikian adalah jauh lebih ramai.
“Ketika ini, saya sedang menguruskan tiga buah sekolah yang sedang mencari pengganti kerana pengusaha kantin sebelum ini telah menarik diri. Ramai pengusaha kantin mengeluh mereka sudah tidak mampu lagi menampung kos operasi,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut Siti Normah, ketika ini, kantin sekolah tidak dapat beroperasi kerana bulan puasa dan impaknya akan dapat dilihat setelah sekolah kembali dibuka selepas Aidilfitri ini.
Secara keseluruhannya, terdapat seramai 10,200 pengusaha kantin di seluruh negara dan 3,000 merupakan ahli PPKSM.
Jelas beliau, sebelum pandemik Covid-19, modal bahan mentah untuk seminggu dianggarkan RM1,000 dan kini meningkat kepada RM2,000 hingga RM3,000 dalam tempoh sama sehingga menyebabkan margin keuntungan semakin mengecil.
Antara bahan mentah yang mengalami kenaikan harga adalah timun, ayam dan telur.
“Pekerja pula menuntut gaji yang tinggi. Sebelum ini, upah tukang masak adalah RM70 hingga RM80 sehari tetapi kini RM100 ke RM120 sehari.
“Pembantu pula dibayar upah RM50 hingga RM70 sehari berbanding RM30 hingga RM50 sehari sebelum ini,” katanya.

Tambah beliau, PPKSM bimbang jika isu pengusaha kantin menarik diri tidak ditangani segera, ia bakal mengundang masalah lain terutama pengusaha kantin yang tangkap muat atau tidak bertauliah untuk menyediakan makanan kepada pelajar.
“Kita bimbang berlakunya isu kebersihan dan keselamatan makanan yang akhirnya akan merisikokan kesihatan pelajar,” ujarnya.
Justeru, PPKSM berharap agar moratorium bayaran sewa kantin sekolah iaitu RM1,000 hingga RM3,000 kepada pengusaha kantin yang akan tamat pada Jun ini dilanjutkan hingga penghujung tahun ini.
“Kami amat berharap pihak sekolah mempertimbangkan kebenaran untuk menaikkan harga makanan pada kadar yang munasabah.
“Selain itu, pelajar juga diharap dapat dibenarkan membeli semula makanan di kantin memandangkan sudah tiada sekatan. Dengan cara ini, ia dapat membantu pengusaha kantin untuk bertahan,” katanya.














