SHAH ALAM – Berbaki kira-kira seminggu lagi untuk menyambut perayaan Aidilfitri, orang ramai sanggup beratur seawal pukul 8 pagi di premis-premis menjual baju dan kelengkapan raya untuk melakukan persiapan akhir.
Tinjauan Kosmo! mendapati, orang ramai bukan sahaja dari daerah ini berpusu-pusu membanjiri pusat pakaian dan pusat pemborong sekitar Seksyen 7, Shah Alam, malah turut dibanjiri penduduk dari daerah-daerah berhampiran.
Mereka bukan sahaja sanggup meredah kesesakan jalan raya, malah ada yang ‘turun’ membeli seawal pukul 8 pagi bagi mendapat tempat meletakkan kenderaan di lokasi pembelian.
Menurut seorang pekerja swasta, Farrish Khalid, 49, dia bersama lima ahli keluarganya keluar dari rumah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur dekat sini seawal pukul 8 pagi bagi mencari pakaian raya.
Katanya, tradisi membeli di daerah ini diteruskan selepas dia berpindah ke Kuala Lumpur dari Shah Alam beberapa tahun lalu.
“Ingatkan sampai awal kira-kira pukul 9 pagi, orang tidak ramai. Nyata meleset apabila tempat kereta sudah penuh di kawasan Seksyen 7 ini.
“Orang ramai juga telah menunggu di depan beberapa buah kedai agar menjadi yang pertama memasuki premis tersebut,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Seorang pengunjung dari Kuala Kubu Bharu, Badrul Azmi Amran, 53, memberitahu, dia sanggup menempuh perjalanan sejauh kira-kira 90 kilometer bagi mendapatkan koleksi baju raya di sekitar Seksyen 7.
Katanya, tambahan pula lokasi itu menempatkan banyak butik dan pusat pemborong pakaian dengan harga lebih murah serta kedai emas.
Bagi seorang penduduk Seksyen 24, di sini, Shamsuddin Ahmad, 52, berkata, dia terkejut dengan kehadiran pengunjung lain yang memenuhi pusat komersial tersebut dia berasakan seperti orang ramai mahu membalas dendam selepas dua tahun tidak dapat beraya akibat pandemik.
“Entah dari mana pengunjung ini semua, rasanya dari luar Shah Alam. Saya yang berasal dari sini pun terpaksa bersesak dengan orang luar,” katanya.

Di Melaka, aliran trafik untuk masuk ke parkir sebuah pusat beli-belah di Peringgit sesak sehingga empat kilometer bermula dari BHP Malim sehingga kawasan sekitar Jalan Lagenda dan Jalan Seri Cempaka.
Menurut seorang pengunjung, Maizatul Syarina Syafie, 41, dia datang bersama suami dan empat anaknya sejak pukul 11 pagi untuk mencari baju raya serta barang dapur bagi menyediakan juadah tradisi Aidilfitri.
“Sebelum ini tak sempat nak beli barang kerana suami bekerja tetapi tak sangka pula hari ini pusat beli-belah penuh, nak membayar pun kena beratur panjang,” katanya.
Tambahnya, dia telah berbelanja kira-kira RM800 dengan membeli 10 pasang baju raya untuk keluarga, termasuk empat orang anaknya berusia antara tiga bulan sehingga 11 tahun.
Di George Town, beberapa jalan utama menghala ke pusat bandar ini mula sesak terutama di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Choong Eu dari arah Jambatan Pulau Pinang di sini sejak tengah hari semalam.
Pengguna jalan raya dikatakan terpaksa menempuh kesesakan hampir sejam dari tanah besar menuju ke arah pulau mulai pukul 1.45 trengah hari.
Seorang pelanggan, Ahmad Safuan Ahmad, 45, berkata, dia dan keluarganya terpaksa berjalan jauh kira-kira satu kilometer untuk ke pusat beli-belah berdekatan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) semata-mata mahu membeli pakaian raya untuk empat orang anaknya.
“Sudahlah tempat letak kereta penuh, kami pula terpaksa berjalan kaki meninggalkan kereta di petak parkir hadapan premis di Jalan Argyll.
“Semalam (kelmarin) dan hari ini (semalam) sahaja masa yang ada dan terluang untuk keluarga membeli barangan keperluan hari raya. Memang terpaksa jugalah bersesak dengan orang ramai,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung di pusat beli-belah di Bayan Baru, Norhayati Mahmud, 51, pula memberitahu, dia terpaksa beratur panjang di kaunter pembayaran sehingga hampir setengah jam petang semalam.
“Memang perlu redah juga, jika tidak memang tak dapat peluang beli baju raya untuk anak-anak. Penat puasa tolak tepi janji kami puas hati dapat beli keperluan raya,” jelasnya.
Di Ipoh, faktor gaji yang masuk awal bagi sesetengah pekerja swasta juga menyebabkan mereka dapat membeli-belah sama ada di gedung tekstil atau butik kegemaran.
Eksekutif swasta, Nor Haslinda Abdul Aziz, 40, berkata, majikannya membayar gaji lebih awal pada bulan ini bagi memberi peluang kakitangan untuk berbelanja raya.
Katanya, tambahan wang bonus perayaan yang diberikan pula menggandakan lagi keseronokan.
“Memandangkan dua tahun kita tidak meraikan raya secara meriah disebabkan pandemik jadi apa salahnya jika ada peluang sedemikian kali ini.
“Dalam soal berbelanja pula saya cuma membeli dua pasang pakaian untuk diri sendiri, suami dan tiga anak,” katanya.

Pekerja kilang, Fazli Zainal, 35, pula memberitahu, suasana sibuk dengan kehadiran pengunjung yang ramai sebenarnya menambah keseronokan membeli-belah.
Baginya, situasi itu juga menandakan bahawa keadaan semasa ketika ini semakin baik, manakala iklim perniagaan beransur pulih.
“Nama pun hari raya, cuma setahun sekali saja tambahan pula sudah dua tahun kita sambut raya dalam suasana muram sebab pandemik,” ujarnya.
Di Seremban, tinjauan Kosmo! di sekitar bandar raya ini sesak dengan orang ramai yang keluar membeli-belah pada saat-saat akhir.
Menurut seorang perunding takaful, Mohd. Fitry Kamalrudin, 36, dia tiada pilihan berbelanja untuk perayaan kali ini pada saat akhir kerana kekangan masa.
Katanya, ada juga terpaksa beli barang pada saat akhir disebabkan beberapa faktor terutamanya kewangan kerana orang ramai baru dapat gaji dan ada yang baru dapat duit Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Saya tak nafikan membeli-belah ketika ini memang sesak tetapi nak buat macam mana, faktor kekangan masa juga antara sebab beli pada saat akhir.
“Membeli-belah pada saat akhir ada kelebihan dan kekurangannya sebagai contoh kelebihan lebih banyak tawaran diskaun dan kekurangannya ialah barang yang dicari kehabisan stok,” katanya ketika ditemui di Senawang semalam. -KOSMO! ONLINE














