fbpx

Wabak ASF: JPV kesan 2,000 babi dikeluarkan dari ladang haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SEREMBAN – Sebanyak 2,000 ekor babi yang ditempatkan di 19 buah ladang haram di Kampung Baru Site A, Tanah Merah, Lukut, Port Dickson yang berada berhampiran dengan ladang babi yang dikesan dijangkiti dengan Demam Babi Afrika (ASF) sebelum ini, dipercayai telah dibawa keluar oleh pemilik ladang.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, ladang ternakan babi itu telah kosong dan dipercayai dibawa keluar ke lokasi yang tidak diketahui tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

“Apabila pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri meninjau ladang terbabit, didapati kesemua 2,000 ekor babi yang terdapat di ladang-ladang berkenaan sudah tiada dipercayai telah dibawa keluar.

“Bagaimanapun, pihak kami tidak mempunyai sebarang bukti termasuk jika haiwan tersebut dilupuskan,” katanya kepada pemberita selepas Program Mempromosikan Mantai Perdana Online Negeri Sembilan di Pasar Tani Kekal Paroi, di sini hari ini.

Sehubungan itu, pihak JPV Negeri Sembilan turut dikatakan akan mengambil sampel darah daripada 19 buah ladang ternakan babi tanpa lesen yang terletak berhampiran dengan ladang ternakan yang dijangkiti.

Pada 9 April lalu, media melaporkan Negeri Sembilan mencatatkan kes jangkitan wabak ASF apabila ia sah dilaporkan di Kampung Baru Site A, Tanah Merah, Lukut di sini. Dua kes positif itu disahkan menjangkiti babi di sebuah ladang yang tidak berlesen dan dipercayai dibawa dari Perak.

Sebanyak 273 ekor babi yang dijangkiti wabak ASF di ladang di Kampung Baru Site A, Tanah Merah, Lukut di sini, telah dilupuskan pada 13 April lalu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI