fbpx

Sistem pusat jagaan perlu ditambah baik, elak kes Bella berulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kumpulan sukarelawan, Inisiatif Bantu-Bantu Malaysia menyambut baik tiga cadangan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi memastikan kesejahteraan kanak-kanak di negara ini terjaga.

Susulan itu, penggerak utama Bantu-Bantu Malaysia, Datin Dian Lee Cheng Ling menyarankan tujuh langkah yang perlu dilaksanakan kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bertujuan mengelakkan kes Bella berulang kembali.

“Pertama, penambahbaikan Rang Undang-Undang Akta Kanak-Kanak 2001 serta pelaksanaan Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) khususnya pematuhan garis panduan secara berterusan tanpa bergantung kepada aduan.

“Anggota penguatkuasaan juga perlu ditambah dalam melaksanakan tugas khusus selain meningkatkan pemantauan, penyiasatan serta penyediaan kertas pendakwaan terutamanya kes berhubung kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, kerajaan perlu meningkatkan kempen kesedaran terhadap ibu bapa untuk memilih taska berdaftar susulan kewujudan taska tidak mendaftar dengan JKM.

Dian Lee.

“Penelitian bagi memastikan taska mendaftar khidmat melalui JKM perlu dilaksanakan serta mengalakkan majikan untuk menyediakan tadika di pejabat atau komuniti melalui skim potongan cukai dan bayaran minimal bulanan.

“Sementara itu, kerajaan perlu mewujudkan pusat sehenti bertujuan untuk mendaftar pusat jagaan serta taska bagi memudahkan proses pendaftaran yang kini melibatkan beberapa agensi berbeza,” ujarnya.

Dalam pada itu, kerajaan harus meneliti serta memberi bantuan terhadap pengusaha yang tidak berdaftar itu dalam mengurangkan kos bagi kursus pendidikan awal kanak-kanak.

“JKM juga wajib menapis dan menyemak latar belakang pemilik pusat asuhan atau pusat kebajikan kanak-kanak dengan pihak berkuasa bagi memastikan tiada rekod berkaitan jenayah sebelum dibenarkan beroperasi.

“Ketua komuniti juga boleh dilantik sebagai pemantau taska yang berdaftar bagi memastikan segala keperluan serta peraturan dipatuhi pengusaha dan tidak bergantung kepada pemantauan berkala agensi berkaitan selepas didaftarkan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan digesa menambah baik khidmat Talian Kasih 15999 dengan menyediakan pakar kanak-kanak serta pakar psikologi selain meluaskan khidmat itu ke seluruh negara secara berfasa. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI