fbpx

Risiko serangan jantung jika terdedah kepada pencemaran udara selama sejam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MANUSIA berisiko mendapat serangan jantung jika terdedah kepada pencemaran udara dalam tempoh sejam. - Abhishek/UPI

BEIJING – Satu kajian di China mendapati pendedahan selama sejam kepada partikel pencemaran udara walaupun pada paras lebih rendah daripada garis panduan kualiti udara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berisiko menyebabkan serangan jantung, lapor agensi United Press International (UPI) kelmarin. 

Menurut kajian berkenaan, risiko serangan jantung sedemikian paling tinggi dalam kalangan orang tua dan ketika cuaca sejuk.

Kajian sama mendapati pendedahan kepada empat partikel pencemaran udara boleh mencetuskan serangan jantung dinamakan sindrom koronari akut (ACS).

ACS terjadi apabila darah yang mengalir ke jantung tersekat. Risiko paling tinggi berlaku dalam tempoh sejam pertama apabila seseorang terdedah kepada pencemaran udara, namun berkurangan pada jam-jam berikutnya.

“Kesan buruk kardiovaskular akibat pencemaran udara banyak didokumentasikan. Namun, ramai masih terkejut kerana kesannya sangat cepat,’’ kata Profesor Haidong Kan dari Universiti Fudan di Shanghai. 

Kan mengetuai kajian itu yang diterbitkan dalam jurnal Circulation American Heart Association, Jumaat lalu.

Menurutnya empat partikel pencemaran udara yang biasa ditemui seperti partikel halus, nitrogen dioksida, sulfur dioksida dan karbon monoksida berpotensi mencetuskan serangan jantung.

Partikel halus dalam bentuk pepejal atau cecair termasuk daripada asap kenderaan, loji janakuasa dan sumber lain, boleh menyebabkan sakit jantung, strok serta masalah kesihatan lain di samping menjadi punca sekitar 4.2 juta kematian pramatang di seluruh dunia.

Kan berkata, partikel pencemaran ini sangat halus dan boleh masuk jauh ke dalam paru-paru, malah saluran darah semasa pernafasan. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI