fbpx

Bantuan Khas Kewangan RM500 buat guru KAFA di Negeri Sembilan sempena Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Aziz (kiri) dan Aminuddin (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kepada JKM sempena Majlis Iftar Ramadan MAINS di Dewan Ballroom, Menara MAINS, di sini, malam semalam. -FOTO: MOHD SHAHJEHAN MAAMIN.

SEREMBAN – Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menyalurkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada Guru Kelas Al Quran Dan Fardu Ain (KAFA) Negeri Sembilan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri membabitkan peruntukan sebanyak RM 824,000.

Pengerusi MAINS, Datuk Dr. Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir berkata, bantuan berkenaan antara tiga bantuan yang disalurkan sempena Majlis Iftar Ramadan MAINS 2022 dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM 1,839,000.

Menurutnya, bantuan kedua disalurkan bagi sokongan Program dan Aktiviti Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (PINTA) sebanyak RM 710,000 serta bantuan ketiga ialah Sokongan Program dan Aktiviti Pusat Pemulihan Dalam Komuniti dan Pusat Jagaan Anak Yatim, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan sebanyak RM 305,000.

“Bagi bulan Ramadan 2022 ini, MAINS telah memperuntukan bantuan untuk asnaf dan institusi berjumlah RM 7, 315,600. Bantuan ini meliputi Bantuan Bulanan Fakir Dan Miskin, Bantuan Makanan Asas, Bantuan Kepada Anak Yatim, Bantuan Tambahan Raya Fakir Dan Miskin, Bantuan Kepada Pusat Tahfiz Dan Madrasah dan pengagihan juadah berbuka puasa kepada frontliner.

“MAINS turut memberikan bantuan kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti dan Penjagaan Anak Yatim yang di uruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan,” katanya sempena Majlis Iftar Ramadan MAINS di Dewan Ballroom, Menara MAINS, di sini, malam semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Pengarah JKM Negeri Sembilan, Rosnah Sardi dan Pengerusi Kelab Media Negeri Sembilan (MANIS), Afifi Hafiz Mohd Nor.

Dalam pada itu, Abdul Aziz menyatakan bagi tempoh suku pertama Januari hingga Mac lalu, MAINS telah berjaya membuat kutipan zakat berjumlah RM29.5 juta.

Menurutnya, jika dibandingkan kutipan zakat suku pertama tahun 2021, jumlah ini telah meningkat sebanyak RM5.2 juta.

“MAINS sentiasa proaktif dalam memperkasakan pelbagai inisiatif berkaitan urusan bantuan zakat melalui dasar komprehensif yang diperhalusi dengan teliti di setiap peringkat oleh ahli MAINS dan diterjemahkan pelaksanaannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI