fbpx

Penduduk Yahudi dilarang masuk ke Masjid Al-Aqsa hingga akhir Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah kumpulan Yahudi melawat Temple Mount di perkarangan Masjid Al-Aqsa, Baitulmuqaddis, kelmarin. – AF

BAITULMUQADDIS – Kerajaan Israel melarang penduduk  Yahudi daripada memasuki pekarangan  Masjid Al-Aqsa sehingga bulan Ramadan berakhir, lapor akhbar Arab News semalam.

Langkah itu  diambil susulan tekanan berterusan yang diterima oleh Rejim Zionis sama ada di peringkat tempatan, serantau mahupun antarabangsa selepas beberapa pertempuran tercetus di Masjid Al-Aqsa.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Naftali Bennett membuat keputusan  menutup pekarangan Masjid Al-Aqsa kepada penduduk Yahudi dari 22 April hingga 1 Mei ini. Sepanjang tempoh itu, Israel hanya membenarkan orang Islam Palestin beribadah di masjid berkenaan.

Kelmarin Bennet turut melarang ahli Parlimen berhaluan kanan, Itamar Ben Gvir dan penyokongnya daripada memasuki Bandar Lama di  Baitulmuqaddis untuk mengadakan perhimpunan.

Ketegangan di Baitulmuqaddis Timur meningkat sejak beberapa minggu lalu selepas  hampir sebulan pihak berkuasa Israel melakukan keganasan terhadap penduduk Palestin di wilayah Tebing Barat.

Larangan tersebut dikuatkuasakan untuk mencegah keganasan daripada terus berlaku termasuk di Masjid Al-Aqsa yang menyaksikan lebih 170 orang cedera dalam pertempuran antara penduduk Palestin dan polis Israel.

Ben Gvir sebelum ini mengumumkan akan menyertai perhimpunan pada malam kelmarin. Menurutnya, dia akan berarak menerusi Pagar Damsyik  yang merupakan pintu masuk utama ke Bandar Lama Baitulmuqaddis.

Dalam pada itu, Pengarah Masjid Al-Aqsa, Sheikh Omar Al-Kiswani berkata, Jabatan Islam Awqaf telah meminta pihak berkuasa Israel  melarang kumpulan-kumpulan pelampau Yahudi daripada memasuki masjid itu dari 16 April hingga Ramadan berakhir.

Namun, tiada sebarang maklum balas yang diterima sehingga kini. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI