fbpx

Derita Ahmad Shahrul dapat perhatian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Haswadi (belakang) dan Azmizam (depan) sedang membantu Ahmad Shahrul untuk baring di atas lapik belakang berisi udara di rumahnya di Kampung Nelayan Teluk Gong, hari ini.

KLANG – Penderitaan bekas pekerja pengendali peralatan kontena di Pelabuhan Utara di sini yang perutnya membesar dipenuhi air sebelum ini mendapat perhatian sewajarnya.

Ahmad Shahrul Nizam Nayan, 54, yang hanya mampu terbaring di atas katilnya dikunjungi pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Timbalan Pengurus Perkeso Klang, Ahmad Haswadi Hashim berkata, pihaknya akan mencadangkan peruntukan menerusi Elaun Layanan Sentiasa sebanyak RM500 bagi kos menjaga Ahmad Shahrul.

Katanya, sebelum ini lelaki itu menerima pencen ilat sebanyak RM1,400.21.

“Maknanya, bayaran bulanan akan menjadi RM1,900.21 apabila diluluskan nanti dalam mengurangkan beban yang dihadapi Ahmad Shahrul.

“Kita akan melihat bantuan lain bagi mengelakkan penyakitnya terus melarat. Pada hari ini, kita turut menyumbang barangan keperluan dan lapik belakang berisi udara untuk keselesaan pesakit berbaring,” katanya selepas melawat Ahmad Shahrul di Kampung Nelayan, Teluk Gong, di sini hari ini.

Sementara itu, Azmizam memaklumkan akan bertemu dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk menyemak semula keperluan perubatan yang diperlukan Ahmad Shahrul.

“Buat masa ini dia menerima bantuan perubatan RM480. Saya lihat keadaan pesakit makin melarat disebabkan perutnya semakin membesar sejak saya menemuinya kali terakhir beberapa bulan lalu.

“Justeru, berharap pihak LZS menaikkan bantuan perubatan selaras keperluan semasa. Jika ada pihak yang ingin membantu boleh juga membantu sama ada daripada aspek perubatan mahupun kebajikan,”katanya.

Kosmo! pada 18 April lalu melaporkan seorang bekas pekerja pengendali peralatan kontena di Pelabuhan Utara menderita pe­nyakit misteri sejak tujuh tahun lalu yang menyebabkan perutnya dipenuhi air dan membesar sehingga ukur lilit pinggang melebihi 200 sentimeter. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI