fbpx

Sardin Viral sasar jualan RM12.6 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NILAI – D’Era Pouch Industries Sdn. Bhd. (D’Era Pouch), pengeluar sardin dalam saiz pek kantung atau pouches, Sardin Viral me­ngunjurkan jualan pada tahun ini bakal mencecah kepada RM12.6 juta.

Eksekutif Jualan syarikat, Lokman Hakim Mohamad Rosli berkata, nilai sasaran jualan tersebut mampu dicapai bersandarkan permintaan yang menggalakkan daripada pelanggan kerana produk tersebut bersesuaian dengan perubahan gaya hidup masa kini.

Menurut beliau, pek kantung itu sangat praktikal kerana konsep ‘koyak dan makan’ yang diketengahkan bersesuaian untuk semua peringkat umur ke­rana mudah dihidangkan selain sedia untuk dimakan.

Produk itu juga boleh dipanaskan terlebih dahulu, bersesuaian untuk menjamu selera ketika bersahur khususnya.

“Proses pembikinan pek kantung ini menggunakan teknik baharu iaitu teknologi retort atau pensterilan supaya produk yang dihasilkan mampu bertahan sehingga dua tahun tanpa menjejaskan struktur dan rasanya.

“Teknologi retort mungkin baharu di negara ini tetapi ia sudah lama digunakan tentera Amerika Syarikat dalam medan pertempuran sejak tahun 1950an.

“Berbanding penggunaan tin yang cenderung membuatkan ikan sardin itu masih berbau hanyir dan mempunyai aroma tin, pek kantung pula melawan arus dan sangat praktikal untuk mereka yang mahu menjimatkan masa, berkerjaya atau untuk pelajar.

“Pastinya produk ini dijamin halal,” katanya ketika ditemui di kilang syarikat di sini baru-baru ini.

Lokman Hakim menerangkan, jenama tersebut telah menjalani proses kajian dan pembangunan sejak tahun 2013 dan ia baharu dilancarkan semula di pasaran pada awal bulan April ini.

Syarikat yang telah bero­perasi di Kawasan Perindustrian Nilai 3, sejak tahun 2004 itu turut mengeluarkan produk kari ayam dalam konsep pek kantung untuk memberi pilihan yang pelbagai kepada pelanggan selain produk Baked Beans dan Tomato Puree. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN