fbpx
KETAHANAN kaki palsu bergantung kepada cara penggunaan individu.- FOTO FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

Kaki palsu 100 peratus buatan tangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANGGAL 10 Januari 2011 merupakan detik hitam dalam hidup Muhammad Azizi Abdul Manab, 32, apabila dia kehilangan sebahagian kaki kirinya kerana dipotong akibat jangkitan kuman selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.

Dilahirkan sebagai insan normal yang sempurna sifat, ujian oleh Yang Maha Esa kepada anak kelahiran Perak itu pastinya sukar diterima, lebih-lebih lagi apabila memikirkan kehidupan yang mendatang selepas bergelar amputee.

Amputee merujuk kepada individu yang melalui proses amputasi iaitu pemotongan anggota badan disebabkan trauma, penyakit atau pembedahan.

“Saya juga tidak tahu apa-apa berkaitan kaki palsu dan bagaimana mahu menjalani kehidupan sebagai seorang amputee sehinggalah diperkenalkan kaki palsu kos rendah oleh kenalan.

“Pertama kali mengenakan kaki palsu, pastinya agak kekok kerana perlu belajar balik seperti bayi yang baru bertatih, selain keseimbangan badan.

“Bagaimanapun, saya bangkit berjuang meneruskan hidup demi isteri dan anak,” kongsinya kepada K2.

Menurut Muhammad Azizi, kaki palsu merupakan permasalahan utama yang dihadapi oleh golongan amputee.

Kebanyakan mereka yang baru kehilangan kaki sama ada disebabkan oleh kemalangan mahupun penyakit tidak tahu tempat yang ingin dituju.

Sudahlah begitu, harganya yang mahal dan di luar kemampuan bagi golongan kurang bernasib baik, selain kesukaran mendapatkan bantuan kaki palsu ekoran pelbagai prosedur menyebabkan golongan ini tidak mampu melakukan apa-apa.

Melihat dilema yang sering membelenggu insan-insan istimewa ini, Siti Nur Syakirah Abdullah yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kedidi Global Sdn. Bhd. (Kedidi Global) mengambil inisiatif menghasilkan kaki palsu praktikal dan selesa digunakan orang kelainan upaya (OKU) pada kos rendah.

Misinya hanyalah satu, mahu memastikan orang yang cacat anggota kaki terutamanya dalam kalangan asnaf dan miskin mampu memiliki kaki palsu dan menjalani kehidupan normal.

“Gembira rasanya apabila melihat raut wajah individu yang tersenyum selepas mampu bertatih semula.

“Ada yang menangis, ada juga yang terserlah keceriaannya apabila mampu berjalan dan menguruskan semula diri sendiri,” luahnya.

Lebih menarik, Kedidi Global yang mengeluarkan jenama Kedidi Kaki Palsu itu merupakan satu-satunya syarikat pembuat kaki palsu di negara ini yang menggunakan tangan 100 peratus.Menyoroti perniagaan tersebut, menurutnya, idea membuat kaki palsu sebenarnya tercetus daripada kedua-dua abangnya iaitu Syafiq Redzuan dan Iqbal Hakim pada tahun 2017.

BENGKEL Kedidi Global Sdn. Bhd. ini menghasilkan kaki palsu tanpa penggunaan mesin.

Dek kerana berminat untuk melibatkan diri dalam industri prostetik yang mampu memanfaatkan orang lain, kedua-dua pemuda itu berkelana ke India dan Indonesia untuk mendalami ilmu pembuatan kaki palsu.

Begitupun akuinya, tidak mudah berkecimpung di dalam industri itu memandangkan mereka bergerak secara solo.

“Saya lihat kekangan utama yang dihadapi oleh mereka adalah kos. Kos pembuatan kaki palsu untuk bawah lutut kebiasaannya RM7,000 ke atas bergantung kepada spesifikasi.

“Kos itu menyebabkan ramai yang tidak berkemampuan, sementelah lebih 60 peratus amputee di Malaysia merupakan individu dalam kelompok B40. Kami lihat mereka bukan sahaja tidak mampu dari segi kos, malahan ada yang tidak mampu pun untuk menyempurnakan proses permohonan bantuan kaki palsu,” kongsinya.

Menyedari masalah yang dialami individu kurang bernasib baik ini, Siti Nur Syakirah berazam mahu menyediakan perkhidmatan untuk OKU amputee yang tidak mendapat bantuan.

Keprihatinan wanita ini jelas kelihatan. Bukan sekadar membantu dengan menyediakan kaki palsu semata-mata, dia juga giat meniupkan semangat buat golongan ini agar dapat menjalani kehidupan seperti biasa menerusi perkongsian video-video di platform media sosial Kedidi Kaki Palsu.

“Idea rekaan kaki palsu kesemuanya diilhamkan daripada abang saya, Syafiq Redzuan yang kami gelarkannya sebagai pencipta dan innovator. Dia menghabiskan kebanyakan waktunya di bengkel mencari cara untuk mencipta soket yang dapat mempermudahkan lagi amputee asnaf di luar sana,” katanya.

Secara ringkasnya, proses pembuatan kaki palsu melibatkan tiga komponen utama iaitu soket, pylon dan tapak. Begitupun, soket merupakan elemen paling penting kerana ia adalah sarung yang menghubungkan kaki yang dipotong dengan kaki palsu, sekali gus menentukan keselesaan pengguna.

Bermula dengan single-structure atau kaki palsu ‘mati’ yang tidak dapat diubah suai, mereka mencipta prototaip soket terbuka daripada batang paip untuk mengurangkan kos.

Pada tahun 2019, mereka mula menghasilkan kaki palsu seperti syarikat-syarikat lain iaitu menggunakan komponen-komponen dari luar. Terbaharu, Kedidi Kaki Palsu berjaya mencipta soket dikenali sebagai dFlex.

“Soket dFlex kami merupakan separuh terbuka dan separuh rigid. Ada yang siap ataupun ready made berbeza dengan soket lain yang perlu dicustom-made. Ia fleksibel dan boleh dilaras, berbeza dengan soket konvensional yang tidak boleh diubah.

“Secara tidak langsung, ia memudahkan si pemakai kaki palsu. Sepanjang lima tahun berkecimpung dalam industri pembuatan prostetik, Kedidi berjaya menghasilkan tujuh generasi inovasi soket untuk dipasang pada kaki palsu,” ujarnya.

SITI NUR SYAKIRAH menunjukkan antara kaki palsu yang dihasilkan sejak 2017.

Jelas Siti Nur Syakirah, pihaknya mampu menawarkan kaki palsu yang lebih rendah kosnya iaitu pada kadar sekitar RM4,900 kerana tidak melibatkan penggunaan mesin selain pengurangan bahan mentah serta pihaknya sendiri memang menyasarkan penawaran harga yang rendah.

Sebanyak tiga bentuk kaki palsu berlainan mengikut keselesaan pengguna ditawarkan iaitu generasi satu atau dikenali sebagai T1 yang dihasilkan menggunakan kayu di bahagian dalam dan getah di bahagian luar.

Tapak generasi dua atau T2 pula dibuat berasaskan kayu di bahagian dalam dan plastik di bahagian luar, manakala generasi tiga iaitu T3 pula dari gentian kaca atau gentian karbon.

Kongsinya, dia sering mendengar aduan insan istimewa yang mengatakan struktur kulit mereka mudah melecet, panas serta soket tidak boleh dilaraskan sepanjang memakai kaki palsu. Disebabkan itu, kewujudan soket fleksibel dan boleh laras penting kerana isi padu stump pesakit mudah berubah-ubah mengikut aktiviti yang dilakukan.

Ternyata, wanita ini amat mengambil peduli kebajikan golongan istimewa itu apabila pihaknya akan datang ke kediaman OKU untuk melakukan fitting tanpa memerlukan mereka bersusah payah datang dari jauh.

Sepanjang beroperasi sejak 2017, Kedidi Kaki Palsu berjaya menghasilkan 450 kaki palsu untuk dimanfaatkan oleh mereka yang memerlukannya.

Menurutnya, biarpun buatan tangan sepenuhnya, setiap hari mereka boleh menghasilkan tiga kaki palsu dengan setiap satu mengambil masa beberapa jam untuk dihasilkan.

“Ketahanan kaki palsu bergantung penggunaan individu itu sendiri.

“Kaki palsu sangat alah kepada air dan akan rosak apabila digunakan bersama air. Pun begitu, biasanya jika dijaga dengan baik, ia boleh bertahan hingga lima tahun,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN