fbpx
HUBUNGAN Rizal dan Akma tidak semesra dahulu selepas kerap bertengkar ekoran sikap bapa isterinya yang disifatkan mata duitan. – GAMBAR HIASAN

K2

Bapa mertua mata duitan, anak jadi mangsa cerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIKAP tamak dan mengambil kesempatan atas kesenangan orang lain sering jadi lumrah dalam kehidupan masyarakat sejak dahulu lagi.

Dalam kisah Dari Mahkamah Syariah minggu ini, sepasang suami isteri bercerai gara-gara bapa mertuanya yang bermata duitan dan mementingkan diri dengan mengambil kesempatan atas kekayaan menantu lelakinya.

Daripada meminta wang untuk membeli kereta hinggakan untuk mengubah suai rumah dalam jumlah yang agak banyak akhirnya memakan diri apabila keluarga besannya tidak bersetuju dengan perkara itu. Ini yang menjadi penyebab rumah tangga pasangan tersebut berantakan dan akhirnya mengambil keputusan untuk berpisah secara baik.
————————————————————————————————————————————————————————————————–
MESKIPUN baru setahun mendirikan rumah tangga, bahtera pasangan merpati dua sejoli itu cukup bergelora selepas berterusan dibadai ‘ombak’ ganas.

Disebabkan itu, hubungan suci tersebut terlerai jua selepas Rizal dan Akma (bukan nama sebenar) bersetuju berpisah secara baik untuk membawa haluan masing-masing.

Menyingkap kembali perjalanan kisah pasangan berkenaan, Rizal yang berusia lewat 20-an berkata, segalanya bermula selepas dia berkenalan dengan Akma menerusi media sosial.

Selepas enam bulan menjalinkan hubungan cinta, pasangan terbabit bersetuju memasuki fasa pertunangan.
Ketika majlis pertunangan diadakan, Rizal sudah mula rasa tidak sedap hati.

Untuk makluman, Rizal merupakan seorang usahawan yang mempunyai sebuah kilang memproses ayam serta tapak perniagaan di pasar pagi terkemuka di Kedah.

Akma pula merupakan anak kedua daripada sembilan adik-beradik kepada pasangan petani. Dia bekerja di kedai menjual produk kecantikan di pekan berdekatan.

“Saya kenal dengan Akma sekejap saja sebelum kami ambil keputusan untuk bertunang. Biasalah, Akma ini cantik, kalau saya lambat nanti orang ‘potong tang kona’ (dikebas orang).

“Sewaktu majlis pertunangan, bapa Akma meletakkan wang hantaran hampir RM20,000. Saya tidak ada masalah dengan jumlah itu, namun mula berasa sangsi dan pelik.

“Selepas berbincang, Akma memberitahu, bapanya letak harga mahal kerana mahu guna duit itu buat kenduri. Lagi pula, bapanya hanya seorang petani,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Selepas enam bulan mengikat tali pertunangan, Rizal dan Akma akhirnya mengambil keputusan untuk berkahwin.

Selepas berkahwin, Rizal membawa Akma tinggal bersamanya di rumah agam yang didirikannya.

PERMINTAAN bapa mertuanya untuk memiliki kenderaan sendiri ditunaikan oleh Rizal dengan menghadiahkan sebuah kereta terpakai. – GAMBAR HIASAN

Pada masa sama, Rizal meminta Akma untuk berhenti kerja dan membantunya menguruskan perniagaan kilang memproses ayam dan gerai jualan di pasar pagi.

Kehidupan pasangan berkenaan kelihatan cukup sempurna di mata orang sekeliling.

Mereka bukan sahaja mempunyai rumah agam, malah menggunakan kereta mewah dan memiliki aset cukup banyak.

“Hasil berniaga ini dapatlah saya beri sedikit kemewahan kepada Akma.

“Dia juga menggunakan duit yang diterima untuk membantu keluarga dan adik-adiknya yang masih berada di bangku sekolah,” ujarnya.

Tidak lama kemudian, Akma memberitahu Rizal bahawa bapanya ingin meminta sejumlah wang untuk membeli sebuah kereta bagi memudahkan urusan harian.

Rizal yang tidak berfikir panjang terus mengeluarkan wang simpanannya untuk membeli sebuah kereta terpakai bernilai sekitar RM20,000.

“Saya ada beritahu ibu bahawa bapa Akma ingin membeli kereta guna duit saya. Ibu memang tidak bersetuju saya berbuat demikian kerana dia tahu sikap bapa Akma yang mata duitan.

“Tetapi, saya belikan juga sebuah kereta terpakai daripada seorang kawan. Saya berharap, ia dapat menggembirakan keluarga mertua yang telah lama ingin memiliki kenderaan sendiri,” katanya.

Tidak cukup setakat itu sahaja, selepas itu, bapa Akma memaklumkan kepada Rizal bahawa dia ingin mengubah suai rumah sedia ada dan memerlukan sejumlah wang untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, jumlah yang dimintanya agar tinggi sekitar RM50,000.

Permintaan bapa Akma itu telah sampai kepada pengetahuan ibu Rizal.

“Ibu memang tidak suka saya terlalu beri muka kepada bapa mertua. Bagi ibu, keluarga Akma ini seperti mengambil kesempatan di atas kesenangan dan kejayaan saya.

“Ibu betul-betul melarang saya untuk memberi wang kepada bapa mertua, lebih-lebih lagi dalam jumlah yang banyak. Disebabkan itu, keluarga saya dengan mertua tidak harmoni,” katanya.

Disebabkan perkara itu, ibu Rizal memintanya supaya berpisah dengan Akma bagi mengelak daripada terus menjadi mangsa keluarga isterinya yang disifatkan sebagai ‘tamak’.

Malah, hubungan antara Rizal dan Akma semakin renggang apabila masing-masing cuba mempertahankan keluarga sendiri setiap kali bertengkar mengenai perkara tersebut.

Situasi itu membuatkan hubungan pasangan berkenaan sudah tidak semesra dahulu. Keluarga Rizal sudah ‘tawar hati’ dengan Akma disebabkan sikap bapanya.

Selepas berfikir panjang mengenai perkara itu, Rizal akhirnya memutuskan untuk berpisah cara baik dengan melafazkan cerai talak satu dengan Akma di mahkamah syariah.

Menurut Rizal, berpisah merupakan jalan terbaik kerana dia tidak mahu melawan cakap ibunya, selain bimbang terus dipergunakan oleh keluarga Akma pada masa depan.

“Saya ada beritahu sebab kami berpisah kepada pihak mahkamah, hakim beritahu soal wang ringgit perlu diselesaikan sebaiknya, terutamanya jika membabitkan ahli keluarga.

“Saya tidak sangka, perkahwinan kami berakhir dengan cara seperti ini.

“Bagi saya, membawa haluan sendiri adalah lebih baik buat buat masa sekarang,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN