IPOH – Pemeriksaan telah dilakukan semalam ke atas premis makanan susulan kejadian tular segumpal rambut ditemui dalam kuih limas yang dijual di sebuah bazar Ramadan di Teluk Intan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, ia melibatkan lokasi jualan dan rumah penjual tersebut.
Menurut beliau, pemeriksaan tersebut dijalankan oleh petugas Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak.
“Pemeriksaan mendapati kedua-dua premis dikategorikan sebagai bersih dan pada masa sama kesemua 84 lot niaga di bazar Ramadan sama juga diperiksa.
“Tiada notis kompaun dikeluarkan, namun sebanyak 254 pengendali makanan diberi pendidikan kesihatan,” katanya menerusi hantaran pada laman Facebook.
Pemeriksaan tersebut dijalankan susulan aduan yang diterima pengadu kepada BKKM JKN Perak.
Mohd. Akmal memaklumkan, sampel makanan di bazar Ramadan itu terutamanya yang disediakan di rumah telah diambil untuk ujian.
Katanya lagi, makanan yang diterima dari pengadu akan dihantar untuk analisis makmal bagi siasatan.
Keterangan daripada pembeli serta penjual telah diambil dan kertas siasatan dibuka bagi tujuan pendakwaan mengikut Akta Makanan 1983 (Akta 281). – KOSMO! ONLINE














