fbpx

[VIDEO] Nicky, 3 syarikat mengaku tidak bersalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nicky (tengah) ketika tiba di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM– Ahli perniagaan Nicky Liow Soon Hee atau dikenali sebagai Nicky mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 26 pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram dan memiliki wang hasil sama bernilai RM36 juta enam tahun lalu.

Nicky, 34, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Helina Sulaiman.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke 24, tertuduh dan tiga buah syarikat didakwa secara langsung melibatkan diri dalam transaksi daripada aktiviti wang haram.

Sementara bagi pertuduhan ke-25 dan ke-26 tertuduh didakwa memiliki wang hasil daripada aktiviti sama yang mana kesemua jumlah itu membabitkan RM36 juta.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank cawangan Bandar Puteri Puchong dan Maybank cawangan Bandar Ampang, Selangor antara 2016 hingga 2021.

Berita berkaitan: Polis lumpuhkan Geng Nicky

Bagi kesemua pertuduhan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) dan 41(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan pertuduhan tersebut tidak boleh dijamin selain risiko tertuduh melarikan diri.

Sementara itu seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya Noor Zalizan Lazarous mencadangkan sekiranya tertuduh dibenarkan ikat jamin, pihak pendakwaan mencadangkan RM3.6 juta berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di  Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman setiap dua minggu sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun peguam Datuk Rajpal Singh memohon supaya tertuduh diikat jamin dengan alasan anak guamnya tiada risiko untuk melarikan diri.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak mahkamah membenarkan Nicky diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin berserta syarat-syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan iaitu melapor diri di JSJK dua minggu sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tarikh 26 Mei ini ditetapkan sebutan semula kes.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI