fbpx

Nicky Liow serah diri, akan didakwa 26 tuduhan ubah wang haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nicky Liow

PETALING JAYA – Ahli perniagaan dalam buruan, Nicky Liow Soon Hee atau dikenali sebagai Nicky yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan dan pengubahan wang haram terbesar di negara ini akan dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam esok dengan 26 pertuduhan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md Din berkata, Nicky yang berusia 27 tahun itu ditahan pada pukul 11 pagi tadi selepas menyerah diri secara sukarela kepada pihak polis.

“Atas arahan Jabatan Peguam Negara (AGC), pada 23 Mac 2022, JSJK telah memfailkan pertuduhan ke atas Liow Soon Hee @ Nicky Liow di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Waran tangkap ke atasnya telah diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, kesemua 26 pertuduhan akan didakwa mengikut seksyen tersebut.

Berita berkaitan: Dua adik Nicky, 12 individu didakwa terlibat jenayah terancang

Berita berkaitan: Polis lumpuhkan Geng Nicky

Pada Mac tahun lalu, Kosmo! Online melaporkan polis memburu Datuk Seri Nicky bagi membantu siasatan kerana disyaki terlibat dengan sindiket penipuan dan pengubahan wang haram terbesar di negara ini.

Alamat terakhir ialah di Trigon Residence Unit 1009, Puchong, Selangor.

Pengasas Winner Dynasty Group itu dikehendaki untuk siasatan di bawah Seksyen 130 V hingga 130 ZB Kanun Keseksaan bagi kesalahan kumpulan jenayah terancang.

Polis Johor telah mengadakan operasi melakukan serbuan di Puchong dan menahan 12 individu termasuk seorang yang berpangkat Datuk Seri.

Suspek adalah seorang individu yang berpengaruh dan mempunyai banyak hubungan dengan ramai orang kenamaan termasuk pegawai agensi penguat kuasa. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI