fbpx

Amy Search sayu terkenang arwah ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEMBILAN bulan sejak pemergian ibu tercinta, Amy sentiasa mengenang memori manis bersama.

PETALING JAYA – Ramadan menggamit rasa sayu buat ikon rock, Amy Search apabila buat pertama kali meraikan kehadiran bulan penuh rahmat tanpa ibu tercinta Allahyarham Fatimah Idris.

Allahyarham ibunda Amy menghembuskan nafas terakhir pada 1 Ogos tahun lalu.

Bagi bekas vokalis kumpulan tersohor itu, rutin tahunan menyambut ketibaan puasa dengan pulang ke kampung halaman membuat persediaan bersama bonda meninggalkan nostalgia tersendiri.

Katanya, sudah menjadi kemestian untuk menziarahi pusara ayah selain mengambil alih tugas memasak di dapur terutama pada ketika tahap kesihatan ibunya sudah menurun.

“Tahun ini saya menyambut Ramadan tanpa seorang ibu. Semasa menziarahi pusara arwah, terasa sedih sangat. Ingat lagi dahulu, saya balik ke Johor Bahru menziarahi pusara ayah sebelum Ramadan.

“Kebiasaannya, seminggu sebelum raya, saya sudah berada di kampung. Masa itu, saya kemas rumah, pasang langsir, anyam ketupat dan pergi ke pasar beli keperluan sambut raya.

“Saya akan menyiapkan semua bahan-bahan nak memasak. Termasuklah menu kegemaran, rendang daging atau paru dan ayam masak hijau.

“Masa itu emak sudah tak kuat, sayalah yang masak. Tapi dia tunjukkan macam mana cara nak menumis semua bahan-bahan,” katanya.

Penghibur berusia 63 tahun itu meluahkan rasa sayu selepas menziarahi pusara arwah ibunya di Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara, kelmarin.

Sudah lapan bulan berlalu sejak arwah pergi pada usia 91 tahun disebabkan sakit tua, tidak sehari pun pemilik nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman itu melupakan detik manis mereka.

Lebih membuatkan tangkai hatinya diulit pilu apabila tiada lagi tangan untuk disalami bagi memohon keampunan seperti yang biasa dilakukan pada pagi 1 Syawal nanti.

“Sudah pasti Ramadan tahun ini terasa sangat tanpa ayah dan emak, inikan pula pada pagi hari raya kerana tiada lagi mohon ampunkan dosa-dosa saya,” tambah bapa kepada lima cahaya mata itu lagi.

Pada masa sama, penyanyi Tiada Lagi itu mengakui arwah adalah insan yang memahami dirinya tanpa perlu diberikan sebarang penjelasan.

“Emak yang tahu saat saya kesedihan dan gembira. Tak pernah sekali pun saya mengadu kesusahan kepada emak.

“Al-fatihah buat emak dan ayah. Moga Allah SWT tempatkan ayah dan emak di syurga firdaus dengan keredaan-Nya. Amin Ya Rabbal Alamin,” katanya.

Sebelum ini, Allahyarham pernah tinggal bersama Amy, namun turut dijaga secara bergilir bersama kakak sulung penyanyi itu yang tinggal di ibu negara.

Selain penyanyi itu dan kakak sulungnya, arwah meninggalkan seorang lagi cahaya mata serta 12 cucu dan dua cicit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI