MERSING – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki seorang lagi warga asing yang masih hilang ketika menyelam di Pulau Tokong Sanggol dihentikan 1.30 tengah hari ini.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edrward Nuing berkata, hasil maklumat dan siasatan terhadap dua mangsa yang ditemui awal pagi tadi mendapati mereka sebenarnya telah diselamatkan di perairan Indonesia iaitu di 16 batu nautika Utara Pulau Bintan.
Katanya, oleh itu pihaknya berpendapat mangsa, Nathen Renze Chesters, 14, warga Belanda yang masih hilang dipercayai berkemungkinan berada di kawasan Indonesia.
“Dengan itu SAR dihentikan sementara waktu untuk operasi mencari mangsa di perairan Malaysia. Counter part Indonesia akan menyambung mencari mangsa di Indonesia,”katanya pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Jeti Awam Majlis Daerah Mersing hari ini. -KOSMO! ONLINE
















