TAPAH – Seorang guru besar tidak menyangka rak buku yang menempatkan naskhah al-Quran dan tafsir tidak dijamah api meskipun bilik pusat sumber di Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Al Rahmaniah di Kampung Datok di sini hangus dalam kebakaran semalam.
Guru besarnya, Khairiyah Othman berkata, dia terkejut apabila melihat kesemua 50 naskhah al-Quran dan tafsir di dalam bilik itu berada dalam keadaan baik dan tersusun rapi berbanding buku lain.
Katanya, naskhah baharu dan lama itu diletakkan di pusat sumber tersebut sebagai bahan mengajar dan bacaan serta rujukan kepada guru dan murid.
“Kebakaran sekitar pukul 10.30 malam itu bukan sahaja memusnahkan bilik pusat sumber, malah ruang pejabat juga terjejas di mana dokumen sekolah, data murid dan komputer musnah terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini
Khairiyah berkata, tindakan pantas pasukan bomba yang dihubungi oleh penduduk kampung berjaya memadamkan kebakaran daripada merebak ke kawasan lain
“Kebakaran ini juga menyebabkan tandas, bilik mesyuarat dan kelas masing-masing mengalami kerosakan lebih 40 peratus di bahagian bumbung dan tingkap,” katanya. – KOSMO ONLINE
















