JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan membiayai kos rawatan warga Eropah yang ditemui selamat selepas hilang ketika melakukan latihan selaman di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, Rabu lalu.
Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi entri di Facebooknya selepas dua lagi mangsa ditemui dalam keadaan selamat awal pagi tadi.
“Dua lagi mangsa yang hilang telah dijumpai. Mereka ditemukan dalam keadaan selamat tetapi lemah dan terus dihantar ke hospital.
“Bagi meringankan beban yang dihadapi oleh mereka, Insya-Allah kos rawatannya akan dibiayai oleh kerajaan Negeri Johor.
“Sehingga kini seorang lagi mangsa masih belum ditemui. Sama-sama kita doakan agar mangsa yang terakhir dapat ditemui dalam masa terdekat ini,” katanya menerusi kenyataan itu. -KOSMO! ONLINE
















