fbpx

18 Julai bicara tuntutan RM1 bilion balu Jamaludin Jarjis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nur Hidayah yang mewakili Aminah ketika ditemui selepas prosiding kes hari ini.

KUALA LUMPUR –  Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 18 Julai depan bagi perbicaraan tuntutan Balu Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis, Puan Sri Dr. Kalsom terhadap empat anak dan ibu mertuanya berhubung harta sepencarian kira-kira RM1 bilion.

Perkara itu dimaklumkan peguam Syarie Nur Hidayah A Bakar yang mewakili ibu Allahyarham Jamaludin, Aminah Abdullah, 88, selaku defendan kelima selepas prosiding kes hari ini di hadapan Hakim Syarie Haznita Hamidon.

Menurut Nur Hidayah, dalam prosiding hari ini, mahkamah memerintahkan supaya pihak-pihak menyelesaikan isu berhubung pindaan pernyataan tuntutan saman tersebut.

“Hakim Syarie mengarahkan pindaan kali kedua (pernyataan pindaan) diselesaikan terlebih dahulu dan mahkamah menetapkan 18 Julai ini untuk tarikh bicara akan datang,” kata Nur Hidayah.

Tambah Nur Hidayah berikutan perbicaraan kes ditangguh lagi buat kali ketiga, pihaknya telah memohon supaya pihak plaintif membayar kos.

Sebelum ini, Kalsom memfailkan permohonan bagi meminda pernyataan tuntutan samannya terhadap empat anak dan ibu mertuanya berhubung harta sepencarian tersebut.

Permohonan pindaan itu berhubung aset antaranya hartanah melibatkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat.

Selain itu ialah memasukkan saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan arwah (Jamaludin) semasa sakit kaki dan memasukan isu berkaitan tanah di Selangor.

Kalsom selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian pada Oktober 2018 dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla, dan Aminah sebagai defendan.

Antara tuntutan harta sepencarian itu ialah  hartanah di Malaysia dan luar negara serta beberapa saham dalam syarikat.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang ketika itu berusia 64 tahun, bersama-sama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada pukul 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya, Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; pengawal peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI