fbpx

Makanan mahal? Kuasa beli di tangan anda – Azhan Rani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZHAN ajak orang ramai viralkan peniaga yang masih jual barang makanan pada harga sama dengan tahun lalu.

PETALING JAYA – Rentetan daripada isu harga makanan dan minuman di bazar Ramadan ‘cekik darah’ sebagaimana dakwaan ramai, pelakon Azhan Rani percaya semuanya berbalik semula pada kuasa beli setiao anggota masyarakat.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Azhan, 46, berpendapat bahawa isu tentang kenaikan harga juadah di bazar Ramadan hanyalah ujian kecil ketika bulan puasa.

Baginya, penjual atau peniaga mempunyai alasan tertentu untuk menaikan harga jualan mereka.

ISU harga makanan di bazar Ramadan mahal kini hangat diperkatakan.

“Anggap saja ujian kecil Ramadan. Peniaga pasti ada sebab kenapa perlu naikkan harga. Menteri-menteri pun ada keluarkan kenyataan, katanya susah hendak kawal kenaikan harga barang.

“Itu yang aku baca. Namun aku percaya kuasa beli masih pada pembeli (pengguna). Ada orang yang memang terpaksa membeli. Ada pula sekadar hendak meraikan hal kebebasan pergi ke bazar Ramadan selepas dua tahun terikat dengan pandemik,” ujarnya.

Sebagai pilihan, pelakon drama Nur itu memberitahu bahawa pengguna mempunyai beberapa cara untuk berjimat cermat selepas mengadu harga jualan di bazar Ramadan dikatakan mahal. Antaranya adalah dengan memasak sendiri di rumah.

“Ada cara berjimat dan tidak beria untuk membeli. Masak sendiri. Kalau tidak hantar sahaja mangkuk tingkat kosong ke rumah teman wanita. Ikhtiar hidup itu banyak,” katanya berseloroh.

Pada masa sama, Azhan turut memberi cadangan supaya pembeli menggunakan kuasa viral dengan menguar-uarkan peniaga yang masih mengekalkan harga jualan mereka dengan kadar berpatutan supaya mempengaruhi peniaga lain selepas tular dalam media sosial.

“Tapi aku rasa kuasa viral kadang-kadang boleh juga membantu. Aku percaya ada peniaga walaupun tidak ramai, masih mengekalkan harga lama dan prihatin dengan rakyat.

“Kalau anda terjumpa peniaga sebegitu, apa kata cuba kuasa viral. Kongsikan dengan orang ramai. Bila sudah tersebar, mana tahu nanti peniaga-peniaga lain juga boleh beri harga munasabah,” katanya.

Pada masa sama, Azhan turut menyeru orang ramai supaya tidak menuding jari sesama sendiri dan menyalahkan orang lain ekoran isu kenaikan harga jualan di bazar Ramadan.

Sekadar info, kebanyakan pengguna mengadu harga makanan dan minuman di bazar Ramadan semakin mahal sehingga dikatakan peniaga sengaja mengambil kesempatan meletakkan harga tinggi.

Malah, tinjauan Kosmo! dalam media sosial mendapati ramai berkongsi harga makanan dan minuman di bazar yang tidak masuk akal seperti sebekas nasi tomato berharga RM10. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI