SYARIKAT pengeluar telefon pintar, Honor terus bergerak ke hadapan dengan melancarkan telefon kelas pertengahan baharu iaitu Honor X9 5G.
Peranti itu dilengkapi dengan ciri-ciri terkini untuk sebuah telefon pintar dan ditawarkan pada harga mampu milik.
Telefon pintar ini dilengkapi dengan paparan FullView Honor 6.81 inci yang menyokong 16.7 juta warna memberikan skrin paparan yang terang untuk kepuasan menonton.
Peranti ini juga membawakan paparan kadar segar tinggi 120Hz yang membolehkan pengguna menonton filem tanpa sebarang gangguan.
Menyentuh tentang prestasi, peranti ini dijana dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 695 5G yang memberikan pengalaman penggunaan lancar, terutamanya untuk mereka yang gemar bermain game.
Dalam pada itu, telefon ini dilengkapi dengan Honor RAM Turbo yang dapat meningkatkan keberkesanan prestasinya, sekali gus pengguna berpeluang menikmati pengalaman bermain game sepenuhnya dengan lebih lancar.
Bagi setiap pengguna, pastinya menginginkan telefon pintar yang memiliki bateri yang mampu bertahan lama dan ciri itu ada pada peranti ini.
Ia dilengkapi dengan kapasiti bateri bersaiz 4,800mAh dan disertakan dengan ciri pengecasan pantas 66W.
Melalui pengecasan pantas, peranti ini boleh dikuasakan sehingga 50 peratus dengan hanya pengecasan selama 15 minit.
Mengulas tentang kualiti kamera, telefon pintar terkini itu dilengkapi dengan tiga kamera pada bahagian belakang.
Kamera utamanya beresolusi 48MP, manakala kamera makro 2MP dan kamera bokeh pula 2MP.
Dengan pilihan kamera itu, ia menyediakan lebih kreativiti kepada pengguna dalam merakam gambar.
Selain itu, untuk bahagian hadapan, peranti ini dilengkapi dengan kamera beresolusi 16MP, sekali gus memberikan gambar swafoto yang lebih baik.














