fbpx

Syahadah 16 angkat tema hijrah, indahnya Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DOKUMENTARI Syahadah menemui penonton bermula 1 Ramadan menerusi tiga saluran utama RTM iaitu TV1, TV Okey dan Saluran Berita RTM.

JENAMA Syahadah sememangnya sudah menjadi sebahagian daripada rutin sambutan kehadiran Ramadan yang dinantikan penonton setia Radio Televisyen Malaysia (RTM) sejak mula diterbitkan pada 2005.

Memasuki edisi ke-16 tahun ini, program dokumentari berbentuk sejarah keislaman berkenaan menjanjikan pendekatan lebih segar dan dekat di hati seluruh rakyat Malaysia.

Untuk musim kali ini, Syahadah mengangkat tema Hijrah atau lebih tepat lagi, Pendekatan Kandungan Islamik dan Perspektif Komuniti Etnik di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

KEUNIKAN Terengganu menjadi antara fokus dokumentari Syahadah zon Pantai Timur untuk tayangan Ramadan tahun ini.

Menemui penonton bermula 3 April, Syahadah bersiaran menerusi tiga saluran RTM iaitu di TV1 pukul 6.30 petang (siaran ulangan pukul 4.30 pagi), saluran Berita RTM (8.30 malam) dan TV Okey (9.30 malam).

Dokumentari terbitan Unit Majalah dan Dokumentari (UMD) TV RTM tersebut menyaksikan penglibatan seramai 12 orang penerbit yang dibahagikan mengikut zon dipilih
iaitu Selatan, Pantai Timur, Utara, Sabah dan Sarawak.

Perjalanan penerbitan program tersebut dibahagikan kepada dua bahagian iaitu sebanyak 15 episod di Semenanjung Malaysia yang dijalankan pada 16 hingga 30 Oktober tahun lalu.

Sementara bahagian kedua pula yang dirakam dari 12 hingga 28 Februari lalu membawa paparan keindahan Islam dari pelbagai perspektif di Sabah dan Sarawak.

CHE ROSLAN (tengah) bergambar bersama pegawai RTM dan pasukan penerbitan Syahadah 2022 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Indahnya Islam

Jajaran dan intipati dokumentari Syahadah musim kali ini membawa penonton menelusuri keindahan Islam dalam konteks hijrah dan memaparkan perubahan komuniti mahupun individu terhadap cara hidup Islam di negara ini.

Asas dan pendekatan turut merungkai pendekatan asas Islam, pendidikan, ekonomi, gaya hidup, srikandi Islam, sahabat Muslim, konsep halal, komuniti, seni dan budaya setempat.

Perkongsian 30 episod yang akan menemui penonton sepanjang Ramadan bermula dengan zon Selatan yang mengetengahkan tajuk-tajuk seperti Kunci Syahadah, Mencari Hidayah, Lantera Hidup, Tarbiyah Husnul Khatimah, Perjalanan Hidayah dan Jihad Ekonomi.

Episod seterusnya termasuklah Permata Syahadah, Ibrah Anbiya, Warisan Muslim di Georgetown, Hikmah di Tanjung Bungah, Jihad Mualaf dan Sinar Islam yang memaparkan kandungan perspektif unik dari zon Pantai Timur dan Utara tanah air.

Tajuk-tajuk menarik seperti Transformasi al-Quran Emas, Warisan Terengganu, E-Braille al-Quran, Nostalgia Pos Dipang, Raudhatul Sakinah, Denai Zikrullah dan Tasbih Rindu dibawakan dari zon Sabah dan Sarawak juga antara pengisian menarik untuk penonton.

KUMPULAN Rabbani menyanyikan lagu tema Syahadah pada majlis pelancaran dokumentari berkenaan di ibu kota baru-baru ini.

Turut mengisi siaran paparan berkisarkan Infaq Kasih, Legasi Rosli Bardi, Kekal Satu Kalimah, Legasi Malakalu, Kalam Sufi, Wasilah Perajurit Negara, Kasih Bario, Hikjah Muhibah, Sujud Ini Miliknya, Sampiku Dilemai Ari Kidurong, Vik Ulauk dan Seruan Dakwah Pesisir.

Menurut Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Che Roslan Che Daud dalam satu kenyataan, Syahadah edisi ke-16 memaparkan tafsiran hijrah dari pemahaman yang lebih luas, selain mengangkat kisah-kisah menarik asimilasi budaya dalam negara.

“Pendekatan kali ini lebih tepat untuk memastikan khalayak dan penonton disajikan kandungan ilmiah yang mampu membentuk budaya ilmu.

Bagi yang tidak sempat menonton di televisyen, dokumentari Syahadah boleh dilayari secara dalam talian, RTM Klik menerusi laman web rtmklik.rtm.gov.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI