fbpx

Pesara polis tembak kucing jantan, lepas tembakan didenda RM6,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Sesyen Majistret Selayang.

SELAYANG – Tindakan seorang pesara polis yang menembak seekor kucing jantan sampai mati dan melepaskan tembakan di tempat awam, memakan diri apabila dia didenda RM6,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nik Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Zainol Abidin Md. Zain, 65, selepas tertuduh menukar kepada pengakuan bersalah terhadap dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara selama lapan bulan dan tertuduh membayar jumlah denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama Zainol Abidin didakwa dengan sengaja melakukan khianat dengan membunuh seekor kucing dengan cara menembak menggunakan senjata miliknya iaitu selaras senapang patah.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum hingga tiga tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan kebun sebuah kampung di Kuang di sini pukul 6.40 petang pada 1 Julai 2020.

Sementara bagi pertuduhan kedua, bapa tujuh anak itu didakwa melepaskan tembakan di tempat awam yang tidak dijadikan sebagai padang tembak tanpa sebarang sebab yang dibenarkan oleh undang-undang dengan menggunakan senjata sama yang didakwa mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 (Akta 206) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 43 akta sama pada waktu dan tempat sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun, atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara enam bulan manakala pertuduhan kedua denda RM1,500 atau penjara dua bulan.

Terdahulu peguam Azman Abdullah yang mewakili Zainol Abidin memohon satu hukuman rendah dengan alasan tertuduh menembak kucing itu kerana haiwan tersebut telah memakan ayam jantan peliharaan miliknya.

“Pelbagai cara telah dilakukan bagi mengelak kucing tersebut memakan ayam tertuduh. Pada hari kejadian selepas tertuduh menembak kucing itu, tertuduh sendiri telah menanam kucing tersebut,” kata peguam itu.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azhar memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran terhadap tertuduh.

Menurut pihak pendakwaan itu, kucing bukan binatang yang mendatangkan bahaya dan tindakan tertuduh menembak kucing itu adalah disifatkan sesuatu yang tidak wajar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI