fbpx

Hael tidak layan gosip remeh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAEL HUSAINI

SEPULUH tahun lalu, bakat besar yang dimiliki lelaki stailo ini pernah dipandang sebelah mata.

Semua pandangan dan rezeki yang kurang memihak kepadanya bagaimanapun tidak mematahkan semangat, jauh sekali mengalah atau mengundurkan diri daripada dunia seni saat awal kemunculannya.

Masa berlalu, Hael Husaini terus melangkah dan kini selayaknya dia berbangga dengan kerjaya yang kian melangit.

Lebih satu dekad bergelar penghibur, Hael Husaini tidak lagi mudah melatah setiap kali namanya terkait dengan apa sahaja bentuk kontroversi. Fokusnya kini hanya mahu melebarkan sayap kerjaya, selain ahli keluarga yang semakin bertambah.

Dia boleh dikatakan antara bekas peserta program realiti hiburan popular, Akademi Fantasia yang berjaya memahat nama sebagai anak seni berjaya.

Satu demi satu kejayaan diraih, selain kerjaya nyanyian, dia juga antara komposer yang paling dikehendaki di Malaysia.

Masakan tidak, ramai penyanyi tanah air yang menunggu giliran untuk bekerjasama dengannya.

Selain usaha yang tidak pernah bernoktah, jejaka berusia 34 tahun itu turut menanam prinsip, kekal tenang sekiranya dibadai kontroversi.

Jelas pemilik nama penuh Hal Husaini Razmi, dia tidak perlu melenting, sebaliknya kekal tenang dalam setiap situasi. Pendekatan sebegitu yang menjadi amalannya dari dahulu sehingga kini.

“Bagi saya, penting untuk sentiasa tenang dalam apa jua keadaan.

“Kita kena kawal emosi dan tenaga di sekeliling supaya tidak turut hanyut bersama.

BARU muncul dengan lagu berjudul, Sama Seperti Dulu, Hael berharap single tersebut diterima ramai seperti karya sebelum ini.

Tidak jaja kisah peribadi

“Saya juga tidak gemar menjaja kisah berbentuk dugaan atau kenangan pahit yang pernah dilalui dengan orang lain,” ujarnya kepada HibGlam.

Bergelar anak seni, tidak sah sekiranya nama tidak pernah terpalit dengan cerita sensasi sehingga adakalanya boleh mencemarkan nama dan maruah diri.

Namun, anak kelahiran Negeri Sembilan itu mengambil pendekatan untuk tidak melayan mahupun mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap mana-mana isu.

“Saya juga tidak akan melenting dan memberi respons pada perkara yang kurang penting.

“Tidak perlu bazirkan masa saya dengan berduka atau melayani isu-isu remeh.

“Jika saya terkesan sekali pun, saya memilih untuk berdiam diri dan alihkan perhatian dengan menulis lagu,” ujarnya.

“Kejayaan yang saya kecapi sekarang tidak datang bergolek, setelah bergelumang dalam bidang seni lebih daripada 15 tahun, banyak yang telah saya pelajari.

“Dari semasa ke semasa, saya sentiasa belajar memperbaiki apa yang boleh supaya kehidupan lebih teratur dan berkualiti,” ujarnya.

Bercerita tentang single baharu berjudul Sama Seperti Dulu, ciptaan sendiri bersama komposer muda, Iqie Hugh, Hael memberitahu lagu tersebut adalah kolaborasi pertama mereka berdua sebagai penggiat muzik.

Lagu Sama Seperti Dulu merupakan terbitan label yang tidak asing lagi, Rocketfuel Entertainment.

HAEL memegang prinsip untuk tidak melayan gosip murahan dan cerita remeh sekali gus mengawal emosi dan tenaga daripada dibazirkan terhadap perkara sia-sia.

Sama Seperti Dulu

“Ini merupakan permulaan bagi projek-projek kami yang mendatang. Iqie juga turut terlibat dalam beberapa buah lagu yang akan dimuatkan dalam album penuh saya yang bakal dilancarkan pada Ogos nanti.

“Sama Seperti Dulu adalah trek pertama dalam album yang akan memuatkan 10 buah lagu kelak,” jelas Hael.

Bercerita tentang Sama Seperti Dulu, lagu tersebut mengajak pendengar kembali kepada genre muzik yang biasa dibawakan oleh Hael iaitu pop balada.

Sebagai imbuhan, lagu tersebut disuntik sedikit sentuhan moden bagi mengekalkan bunyi lagu-lagu Melayu zaman sekarang agar kekal relevan.

“Karya ini mengambil masa selama tiga bulan untuk dihasilkan kerana Iqie dan saya agak sibuk.

“Lagu ini ada sedikit kaitan dengan kisah peribadi saya dengan orang di sekeliling.

“Saya masukkan persoalan tentang kesetiaan dalam perhubungan yang menjadi tema lagu ini,” jelas pelantun lagu itu.

PEMILIK lagu Kelentang Kelentong itu gembira dengan kehidupan yang kini dihiasi dengan kehadiran tiga orang anak angkat yang masih kecil

Cabaran jaga anak kecil

Sementara itu, bercerita tentang keluarga kecilnya, Hael mengakui menggalas tanggungjawab sebagai seorang bapa kepada tiga cahaya mata yang masih kecil bukanlah satu tugas yang mudah.

Ujarnya, memikul tanggungjawab yang besar sebegitu membuatkan dirinya lebih matang dan sanggup melakukan apa saja demi melindungi keluarga kecilnya.

“Jujurnya tugas bapa bukanlah mudah tetapi perkara tersebut membantu dalam pelbagai aspek antaranya seperti mendewasakan diri saya.

“Kini saya ada komitmen yang lebih besar daripada diri sendiri. Saya lebih memikirkan masa depan mereka yang kini semakin hari semakin bijak. Syukur juga ahli keluarga banyak membantu dalam menjaga tiga anak saya itu,” jelasnya.

Kini, Hael mempunyai tiga orang anak angkat iaitu Helena, 5, sepasang kembar, Haelman dan Haelmy yang berusia setahun.

HAEL antara produk program realiti hiburan popular, Akademi Fantasia yang berjaya memahat nama sebagai anak seni berpengaruh.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI