fbpx
SEORANG individu melakukan imbasan pada sebuah produk kurma yang membolehkannya menerokai pengalaman interaktif termasuk ke kebun kurma dan mendalami pelbagai ilmu berkaitan kurma dan aspek kerohanian.

Teknologi AR pada produk kurma saji pengalaman interaktif termasuk ‘kunjungi’ kebun kurma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GADIS itu kelihatan sungguh teruja sebaik melihat video animasi ‘keluar’ di skrin telefon bimbitnya selepas dia mengimbas kod QR tertera pada sebuah kotak berisi kurma.

Pertama kali melihat animasi berbentuk ilmiah daripada imbasan kod QR pada kotak kurma yang dibelinya, Fatin Amira Samad, 24, akui berasa kagum dengan keupayaan teknologi realiti berperantara atau augmented reality (AR) hari ini yang seolah-olah membawanya secara terus menelusuri kebun kurma di Arab Saudi biarpun berada jauh beribu batu dari sana.

“Ini merupakan satu pengalaman yang sangat menarik.

“Sejak dahulu lagi kurma yang dijual di pasaran hanya dibungkus dan dilabel dengan gambar serta jenis kurma terkandung di dalamnya. Berbeza kali ini apabila kotak produk kurma itu turut dilengkapi kod QR yang menyajikan pengalaman interaktif.

“Selain menikmati keenakan khasiat kurma, buat pertama kalinya saya turut dapat menerokai kebun kurma disertakan animasi, pengisian kerohanian selain menambah ilmu pengetahuan mengenai kurma sepanjang bulan Ramadan ini,” kongsinya kepada K2.

Kurma dan bulan Ramadan sememangnya tidak asing lagi bagi masyarakat Islam. Setiap kali tibanya waktu berbuka puasa, individu disunatkan untuk mengambil kurma sebelum menjamah makanan lain.

Selain memiliki banyak khasiat serta dikategorikan sebagai superfood, kurma juga dikenali sebagai makanan sunah yang pengambilannya sangat digalakkan oleh Rasulullah SAW.

Bagaimanapun, sejak dahulu lagi, makanan sunah ini dijual di pasaran secara timbang atau siap sedia dipek di dalam kotak dengan label klise yang tertulis jenis kurma dan maklumat nutrisi sahaja.

Justeru, bagi menambah baik status industri kurma, sekumpulan anak muda Malaysia menghasilkan produk kurma dengan menyelitkan fungsi teknologi digital AR di dalamnya. Lebih mengagumkan, produk keluaran syarikat The Saheeh Company itu dipercayai satu-satunya produk dalam industri kurma di dunia yang menerapkan teknologi AR pada pembungkusannya.

ANTARA contoh video animasi AR yang dapat disaksikan pada produk kurma keluaran The Saheeh Company.

Menurut Pengarah Produk The Saheeh Company, Hariz Abdul Hadi, secara ringkasnya, AR adalah satu jenis kesan visual yang terhasil melalui komputer atau telefon pintar dengan objek visual janaan komputer akan ditambah pada pemandangan dunia sebenar lalu dipaparkan pada skrin komputer atau telefon pintar.

Secara ringkasnya, menerusi teknologi ini, pengguna dapat melihat dunia sebenar disertai objek-objek tambahan lain, seolah-olah ia wujud di alam nyata dengan hanya melihat melalui skrin gajet itu sahaja.

“Inspirasi AR dalam produk kami ini tercetus daripada video Metaverse oleh Facebook yang dilancarkan tahun lalu. Dalam video pelancaran Metaverse Facebook itu, Mark Zuckerberg menceritakan bahawa mereka akan menggunakan teknologi AR dan VR dalam skop pekerjaan, sukan, pendidikan serta banyak lagi.

“Tatkala melihat video itu, ia membuka minda kami terhadap teknologi digital dan lebih-lebih lagi menyahut misi kerajaan ke arah digitalisasi negara,” ceritanya.

Biarpun datang dari latar belakang berbeza, namun dek kerana minat mendalam terhadap penjenamaan produk, rekaan, pengalaman pengguna dan teknologi digital, kumpulan ini berjaya mencipta evolusi baharu penjualan kurma yang lebih menarik.

Bukan untuk perniagaan semata-mata, mereka sebaliknya berjaya memberi impak positif kepada pembeli memandangkan kesemua animasi dipaparkan berbentuk ilmiah dan kerohanian.

Biarpun baru berjinak dengan teknologi AR pada bulan November lalu, apa yang membanggakan ialah mereka berjaya menyiapkan draf terakhirnya pada Januari lalu dan produk kini telah dipasarkan.

Berkongsi lanjut bagaimana individu boleh mendapat manfaat daripada teknologi yang terpapar pada kotak kurma itu, menurut Hariz lagi, kesemua itu boleh dinikmati dengan hanya mengimbas kod QR pada kotak kurma menggunakan telefon bimbit.

HARIZ mahu memberikan nafas baharu kepada penjualan produk kurma.

Katanya, pelanggan perlu mengimbas kod QR pada kotak kurma dengan memegang telefon pintar sekurang-kurangnya 30 sentimeter dari produk. Sejurus kandungan video muncul, pelanggan juga boleh menggerakkan peranti mereka itu dari pelbagai arah.

Kandungan video disediakan di dalam bentuk animasi AR.

“Menerusi video berdurasi antara dua hingga lima minit, penonton juga akan didedahkan kepada jenis-jenis kurma, video ilmiah tentang Ramadan dan promosi khas buat mereka. Animasi interaktif sengaja direka khas ibarat pelanggan berada di kebun kurma di Madinah Munawwarah.

“Video tersebut semestinya bermanfaat kepada pengguna dan bukanlah hiburan semata-mata. Contohnya, kami menyajikan kelebihan sesuatu bulan Islam dan amalan-amalannya, tazkirah pendek berkenaan puasa dan doa-doa bersesuaian.

“Bagaimanapun, untuk memberi manfaat yang berterusan kepada pelanggan, setiap minggu, maklumat dan paparan video akan bertukar-tukar,” terangnya.

Mengulas mengenai kriteria pemilihan kandungan dalam video AR itu, menurut Hariz, mereka memilih kandungan yang mampu memberi impak visual dan pengalaman dalam bentuk animasi AR itu sendiri.

Tambahan pula apabila rata-rata masyarakat hari ini masih belum terbiasa dengan teknologi tersebut.

Lantaran itu, kata Hariz, kaedah tersebut dipraktikkan bagi menarik minat pengguna meluangkan lebih banyak masa ‘membelek’ animasi sekali gus memberi pendedahan bahawa teknologi AR adalah sangat interaktif.

Bukan sahaja mahu membawa individu kepada pengisian rohani dan melewati ladang kurma di Arab Saudi menerusi teknologi AR, kumpulan ini turut membawakan pelbagai rasa kurma dengan mengimport tujuh jenis kurma dari Madinah yang mempunyai tahap kemanisan dan kekenyalan yang berbeza.

Kebun-kebun kurma yang dipaparkan dalam animasi AR itu juga ialah tempat asal kurma yang ditawarkan mereka.

Antaranya ialah Ajwa, Safawi, Medjool, Mabroom, Sukkary dan Suq’aie.

Kongsi Hariz lanjut, pihaknya turut mengambil langkah ke depan untuk menjelaskan perbezaan tahap kemanisan dan tahap kekenyalan setiap jenis kurma menerusi sistem penilaian berdasarkan kuih-muih tradisional.

“Kami faham pelanggan mempunyai cita rasa yang berlainan. Ada yang gemar memakan kurma manis, kenyal, mahupun lembut dan ada yang sebaliknya. Jadi, dengan sistem penilaian dinamakan The Saheeh Kurma ini, pelanggan mudah untuk membuat pemilihan yang tepat.

“Selain kurma Safawi, kurma Ajwa adalah kurma kami yang paling premium kerana hanya boleh didapati di dalam satu kawasan di tanah suci Madinah iaitu di perkampungan Al-Aliyah dan kuantitinya pula sangat terhad,” kongsinya.

Melihatkan masyarakat hari ini yang sentiasa berhubung dengan telefon pintar, Hariz percaya, menerusi produk berpandukan teknologi terkini, ia bukan sahaja dapat menarik perhatian golongan muda, malah memberi nafas baharu kepada produk kurma yang sebelum ini hanya dikaitkan dengan Ramadan.

Dalam kenyataan akhbar sebelum ini, pihaknya turut menyatakan sebahagian hasil jualan akan disumbangkan kepada golongan kurang berkemampuan menerusi sokongan kepada organisasi Skuad Prihatin Kemiskinan (SPK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN