fbpx

Seludup 12 ekor lembu guna perahu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian lembu yang ditinggalkan penyeludup di tepi semak berhampiran Sungai Tok Rusa, Rantau Panjang malam tadi. /FOTO IHSAN PGA

RANTAU PANJANG – Sekumpulan penyeludup bertindak melarikan diri dengan meninggalkan sebanyak 12 ekor lembu seludup selepas kegiatan mereka itu dihidu anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan semak berhampiran Sungai Tok Rusa, Meranti di sini malam tadi.

Rampasan lembu bernilai RM67,200 itu dijalankan kira-kira pukul 11 malam oleh Batalion 9 PGA semasa menjalankan tugasan di sempadan Malaysia-Thailand melalui Op Wawasan.

Pegawai Pemerintah Medan PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, sebelum serbuan dilakukan, anggota bertugas telah menjalankan intipan di kawasan itu selepas menerima maklumat mengenai kegiatan penyeludupan.

Menurutnya, semasa intipan dilakukan, anggota PGA melihat lembu-lembu itu diseludup masuk ke negara ini menggunakan perahu melalui bawah jambatan di Jalan Kasban Sungai Tok Rusa yang bersambung dengan Sungai Golok.

“Setelah perahu itu berhenti, beberapa orang lelaki dilihat menarik lembu dari atas perahu ke darat.

“Menyedari kehadiran anggota PGA, kumpulan penyeludup segera menaiki perahu lalu bertindak melarikan diri ke negara jiran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Beliau memberitahu, pemeriksaan di lokasi telah menjumpai 12 ekor lembu yang dipercayai untuk dijual semasa bulan Ramadan di negeri ini telah ditinggalkan di situ.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI