fbpx
GAMBAR HIASAN

Ramadan tiba, jaga mulut ‘neraka’ tu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini isu seorang pensyarah sebuah universiti awam didakwa menghina B40 hangat diperkatakan. Cerita tular seumpama ini seumpama lauk kepada netizen selepas ‘balik Malaysia’ selesai isu kematian pelakon Thailand, Tangmo Nida.

Sebelum itu, bagi yang tidak tahu B40 merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan bawah RM4,850 sebulan.

Penulis tidak mahu ulas mengenai pensyarah terbabit tetapi mengenai ‘mulut neraka’ netizen yang menghentam cukup-cukup seorang pendidik itu.

Kalau penulis di tempat beliau mahu terduduk juga.

Tabik kepada beliau tidak melenting sebaliknya berdiam-diri saja, seeloknya begitu, media sosial Kosmo! Online juga sering jadi ‘lauk’ netizen. Kita diam saja, jika melawan nanti isu jadi meleret-leret.

Orang yang pertama tularkan video berkenaan pada tengah malam itu dan kemudiannya memadamkan video serta akaun media sosial miliknya sangat tidak bertanggungjawab.

Seterusnya, netizen Malaysia membuat kerja tularkan isu itu sampai lubang cacing.

Benda yang kita tidak tahu sampai kita tahu. Itulah netizen Malaysia.

Menurut satu kajian 72 peratus penggunaan media sosial di Malaysia atau 25 juta pengguna dalam kategori ketagihan media sosial dan 79 peratus masih menggunakan Facebook.

Kajian itu juga mendapati dalam satu jam, setiap 10 minit atau kurang rakyat Malaysia sentiasa mengintai telefon bimbit mereka.

Senario itu menjadikan Malaysia negara ke sembilan paling aktif di laman sosial di dunia dan kelima aktif membeli melalui e-dagang.

Hebat orang Malaysia, sekarang juga boleh dikatakan netizen seumpama ‘polis bergerak’, jika kita tengok Facebook Dashcam kadang-kala takut, kalau-kalau kereta kita terakam buat salah di jalan raya.

Jika perkara ke arah kebaikan itu yang perlu gunakan media sosial sebaiknya, jika untuk menghina, mengaibkan dan menuduh tanpa usul periksa itu patut dihindarkan.

Janganlah membuat dosa kering menghina orang tanpa usul periksa, jangan lupa di akhirat nanti merangkak kita mencari orang dicaci itu memohon maaf.

Jangan juga tangan cepat menghina tanpa sempat otak berfikir risiko dan menyakitkan hati orang lain.

Jika ada isu tular dalam bulan Ramadan ini jaga-jagalah jangan sampai penat puasa seharian tanpa pahala. -KOSMO! ONLINE

POPULAR