KOTA BHARU – Golongan belia yang masih belum mempunyai pekerjaan digalakkan untuk meneruskan legasi kebanyakan warga emas di Kelantan khususnya dengan mencari rezeki sebagai penarik beca.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Md. Anizam Ab. Rahman berkata, ia merupakan satu langkah untuk mengekalkan tradisi pengangkutan tradisional itu di negeri ini yang kini hanya dipelopori oleh golongan warga emas.
Menurutnya, sehubungan itu, golongan belia tidak perlu berasa janggal untuk bekerja sebagai penarik beca kerana ia merupakan sumber rezeki yang halal.
“Golongan muda di negeri lain dan negara luar ada yang bekerja sebagai penarik beca meskipun pendapatan yang diperoleh tidak seberapa.
“Oleh itu, saya galakkan golongan belia untuk meneruskan tradisi pekerjaan ini sekiranya masih menganggur. Kita dapat lihat, ada dalam kalangan anak penarik beca yang sudah berjaya dan berpendidikan tinggi ketika ini,” katanya selepas menyampaikan Bantuan Sara Hidup Kepada 17 Penarik Beca Berdaftar di Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan di sini hari ini.
Pada majlis itu juga, penarik beca menerima bantuan wang tunai sebanyak RM600 dan juga barang makanan keperluan harian bagi meringankan beban.
Mengulas lanjut, Md. Anizam berkata, beca ketika ini sudah dinaik taraf dengan menggunakan motor tanpa perlu dikayuh. -KOSMO! ONLINE