fbpx

Kolaj estetika kuning, hitam VEX 2022 Unisel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KOMBINASI warna kuning dan hitam sebagai lambang ketegasan.

SELEPAS hampir dua tahun terpaksa dianjurkan secara online, Pameran Seni Visual (VEX) 2022 akhirnya berjaya dilaksanakan secara fizikal di Jabatan Seni Visual, Universiti Selangor (Unisel), Bestari Jaya baru-baru ini.

Pameran anjuran Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran itu menghimpunkan 32 pelajar diploma dan ijazah sarjana muda daripada jurusan seni reka grafik digital serta teknologi fotografi.

Pameran itu bertujuan memberi peluang kepada para pelajar tahun akhir memperagakan bakat dan kebolehan masing-masing dalam bidang dipelajari.

Menurut Ketua Jabatan Seni Visual, Nur Shazleen Md. Yusof, pihaknya sangat berbesar hati dapat menganjurkan VEX 2022 secara fizikal selepas kebimbangan terhadap pandemik Covid-19 kian reda.

Katanya, pameran berkenaan cukup bermakna kepada para pelajar daripada kedua-dua jurusan sebelum mereka melangkah keluar dari Unisel.

“VEX merupakan acara yang dianjurkan pada setiap semester. Pentas ini diberikan kepada para pelajar tahun akhir sama ada peringkat ijazah sarjana muda dan diploma.

“Pameran kali ini mengetengahkan 32 karya berkonsepkan kolaj estetika dengan menekankan kombinasi warna kuning dan hitam sebagai lambang ketegasan,” katanya kepada iGen.

Rata-rata tajuk pameran pada sesi kali ini berkisar mengenai kempen kesedaran, alam sekitar, penjenamaan korporat serta masalah sosial menerusi seni grafik dan fotografi.

Menurut Nur Shazleen, para pelajar diberi masa 15 minggu untuk membuat kajian berkaitan isu yang ingin diketengahkan sebelum diterjemahkan dalam bentuk karya.

KUMPULAN pelajar tahun akhir yang terlibat dalam pameran VEX 2022 di Unisel, Bestari Jaya baru-baru ini.

Ujarnya, hasil karya pelajar telah dinilai oleh pensyarah serta dua penilai berpengalaman daripada industri yang dilantik oleh pihak Unisel.

“Markah yang diberikan hasil penilaian akan dimasukkan dalam peperiksaan akhir pelajar. Pada tahun ini, kami telah menjemput dua orang penilai daripada industri.

“Dari situ, kami boleh mendapatkan maklum balas bagi penambahbaikan modul pembelajaran jurusan ditawarkan agar selari dengan kehendak semasa industri.

“Alhamdulillah, hasil maklum balas diberikan daripada penilaian karya mendapati kumpulan pelajar ini sudah bersedia untuk bekerja dalam industri,” ujarnya lagi.

Pameran yang berlangsung pada bulan lalu itu juga dibuka kepada para pelawat dari dalam dan luar kampus secara percuma.

Sementara itu, Dekan Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Prof. Madya Ts. Dr. Wan Azlan Wan Hassan memberi penghargaan kepada para pelajar dan pensyarah terlibat dalam menjayakan VEX 2022 meskipun terdapat pelbagai kekangan akibat pandemik.

“Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada para pelajar tahun akhir yang menyertai pameran VEX 2022. Sekiranya anda bekerja keras, pasti boleh berjaya.

“Saya juga ingin memberi penghargaan buat pendidik di Jabatan Seni Visual yang berjaya membantu pelajar menyudahkan karya mereka serta kejayaan penganjuran pameran ini,” ujarnya.

Salah seorang peserta VEX 2022, Veeneersha Puvanen Thiran memberitahu, dia sangat teruja dapat menjadi salah seorang peserta pameran pada sesi kali ini.

Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik Digital itu memilih mengetengahkan karya bertajuk Clean Up Your Act and Face Mask Campaign..

“Karya ini berkaitan kempen kesedaran mengenai pencemaran akibat pembuangan pelitup muka terpakai. Saya dapati ramai membuang pelitup muka sesuka hati selepas digunakan.

“Saya ingin menyedarkan orang ramai bahawa hal itu boleh mencemarkan alam sekitar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI