fbpx

Kes rasuah Rosmah berjaya timbulkan keraguan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah.

KUALA LUMPUR – Meskipun Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dipanggil memberi keterangan sebagai saksi pembelaan, pihak pembelaan dalam kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor tetap berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan itu.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, dalam hujahannya bertulisnya, pasukan pembelaan berkata ia memilih untuk tidak memanggil Najib sebagai saksi pembelaan kerana keterangannya hanya bersifat menyokong.

“Kami dengan hormatnya mengemukakan bahawa adalah menjadi hak pembelaan untuk memanggil saksi yang ditawarkan, Najib sebagai saksi untuk memberi keterangan di hadapan mahkamah.

“Bagaimanapun, pada 10 Januari lalu, peguam bela, Datuk Jagjit Singh telah memaklumkan kepada mahkamah untuk memutuskan menyusun semula strategi selepas membincangkan merit memanggil Najib dan memilih untuk tidak memanggilnya kerana buktinya hanyalah bersifat menyokong,” ujar pihak pembelaan itu.

Menurut hujahan itu lagi, Ketua Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, pihak pendakwaan tidak mempunyai isu dengan keputusan pihak pembelaan untuk tidak memanggil Najib kerana ia adalah prerogatif pembelaan untuk berbuat demikian.

Sementara itu, dalam hujahan di akhir kes pembelaan, pihak pembelaan berkata pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti bahawa Rosmah sememangnya telah meminta dan menerima sebarang suapan daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd. Saidi Abang Samsudin.

“Oleh itu, jelas bahawa tuduhan dan pertuduhan terhadap tertuduh adalah remeh dan dilakukan dengan tujuan semata-mata untuk menjadikan tertuduh sebagai kambing hitam,” kata hujahan bertulis yang difailkan pada 29 Mac lalu di Mahkamah Tinggi di sini.

Mengikut pertuduhan pertama, Rosmah didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta , pada 7 September 2017.

Bagi pertuduhan ketiga, Rosmah didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI