fbpx

Hurun selesa bermain boling padang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HURUN (depan) menggemari sukan boling padang kerana tidak memerlukan kudrat yang banyak, sebaliknya hanya perlu mengaplikasikan teknik selain ketahanan mental.

MESKIPUN bermula agak lewat dalam permainan boling padang, namun gadis berusia 24 tahun itu mampu menyerlahkan potensi sebenarnya dalam tempoh singkat.

Hurun Ain Zaihan Mohd. Hanafiah mula mengenali sukan tersebut pada usia 21 tahun sewaktu tahun pertama pengajiannya di Universiti Malaya (UM).

Dalam tempoh kurang setahun, gadis berkenaan telah terpilih mewakili UM atau Persatuan Boling Padang Kuala Lumpur (PBPKL) bagi beberapa kejohanan di dalam mahupun luar kampus.

Cerita gadis yang mesra disapa Hurun itu, dia mula mengenali boling padang sewaktu menemani rakannya menyertai pemilihan bagi mewakili kolej kediaman pada acara sukan di universiti terbabit.

Katanya, dia tidak menyangka percubaan pertamanya dalam sukan berkenaan berjaya membuahkan hasil sehingga terpilih mewakili kolej.

“Sebelum ini, saya memang aktif dalam sukan terutamanya bola baling, bola tampar dan bola jaring, tetapi saya memang tidak pernah tahu langsung berkaitan sukan boling padang.

“Kebetulan ada kawan minta saya menemaninya pada sesi pemilihan. Sebelum pemilihan dibuat, jurulatih ada ajar teknik asas bermain boling padang. Tidak sangka pula, dalam percubaan itu, saya turut terpilih.

“Itulah kali pertama saya kenal sukan boling padang. Sebelum ini, saya hanya pernah main petanque yang mempunyai konsep hampir sama dengan boling padang,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Hasilnya, gadis berasal dari Nilai, Negeri Sembilan itu berjaya membawa pulang dua pingat perak menerusi sukan boling padang sewaktu mewakili kolej pada acara sukan UM.

Rentetan itu, Hurun dipanggil oleh jurulatih bagi mewakili UM menyertai temasya Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) dan acara Sukan Institusi Pengajian Tinggi (Sukipt).

HURUN merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Biomedik dari UM.

Pada semester kedua, Hurun turut dipanggil PBPKL bagi membawa nama Kuala Lumpur dalam kejohanan terbuka yang dianjurkan di seluruh negara.

“Sepanjang saya terlibat dalam arena ini, pencapaian terbaik adalah memenangi kejohanan terbuka. Ketika Masum dan Sukipt, saya gagal membawa pulang pingat.

“Saya pernah dipanggil menyertai pemilihan ke Sukan Malaysia (Sukma) bagi pasukan Kuala Lumpur. Malangnya, saya tidak terpilih, mungkin bukan rezeki lagi,” ujarnya.

Cerita Hurun, dia cukup selesa bermain boling padang kerana tidak memerlukan kudrat yang banyak, sebaliknya hanya perlu teknik dan ketahanan mental.

Selain aktif bermain boling padang, Hurun juga terlibat sebagai pengarah projek beberapa program anjuran kolej kediaman termasuk Larian Run4cer pada tahun 2019.

“Saya juga pernah dilantik sebagai pengarah projek bagi program-program terutama pada semester kedua. Meskipun sibuk dengan latihan boling padang, seboleh-bolehnya saya memberi komitmen terbaik dalam setiap projek,” katanya.

Walaupun sibuk dengan sukan dan aktiviti kampus, namun pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Biomedik dari UM itu tidak pernah lupa tanggungjawabnya sebagai mahasiswa.

Terangnya, dia perlu bijak membahagikan masa bagi memastikan pelajarannya tidak terjejas meskipun terbabit dengan boling padang dan aktiviti lain di kampus.

“Saya sangat bersyukur kerana ada rakan-rakan di sisi yang sedia membantu saya mengulang kaji apabila gagal hadir kuliah. Saya banyak tertinggal kuliah pada semester kedua kerana betul-betul sibuk dengan latihan boling padang serta menjayakan beberapa projek anjuran kolej,” ujar gadis tinggi lampai itu.

Ketika ini, Hurun sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana dalam jurusan kejuruteraan biomedik di UM bagi mengejar cita-citanya sebagai pensyarah dan penyelidik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN