fbpx

7,800 pencarum Perkeso berjaya pulih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Dr. Hafez Hussain ketika sidang akhbar di Pusat Rehabilitasi Perkeso, Melaka semalam.

MELAKA – Sebanyak 7,800 pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang mengalami kecacatan akibat kemalangan berjaya dipulihkan di Pusat Rehabilitasi Perkeso (PRP) Tun Abdul Razak, di sini, daripada tahun 2014 sehingga kini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Dr. Hafez Hussain berkata, jumlah keseluruhan pencarum yang telah mendapatkan rawatan pemulihan di seluruh negara pula mencapai sebanyak 9,500 orang.

“Bagaimana pun, jumlah itu masih belum mencukupi apabila statistik kemalangan setiap tahun menunjukkan Orang Berinsurans (OB) yang dipulihkan tidak mencapai 15 peratus daripada statistik terbabit.

“Ini kerana masih ramai OB di luar sana yang belum menerima rawatan rehabilitasi secara komprehensif dan saya menyeru golongan tersebut untuk mengambil tahu akan hak mereka jika memerlukan rawatan di PRP,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar sempena program PERKESO’s Media Fam Trip 2022 di PRP Tun Abdul Razak di sini, semalam.

Sementara itu, Hafez juga memaklumkan perancangan PRP terbaharu yang akan dilaksanakan di Ipoh, Perak dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober 2024.

“Cadangan pembinaan pusat terbabit sudah mendapat kelulusan di peringkat Parlimen dan Jemaah Menteri selain memperoleh bajet berjumlah RM500 juta daripada Perkeso.

“Pembinaan pusat rehabilitasi baharu itu bakal menempatkan 700 orang untuk menerima rawatan pada satu masa selain dapat meningkatkan perkhidmatan terkini seperti Neuro-Robotics dan Cybernics,” katanya.

Jelasnya, perkhidmatan Neuro-Robotics dan Cybernics adalah satu pencapaian membanggakan kerana Malaysia menjadi negara keempat di Asia Tenggara yang menggunakan teknologi tersebut. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI