fbpx
JAMALUDIN terpaksa melupakan hasrat untuk bekerja buat masa ini ekoran hilang keupayaan separuh badan akibat strok pada Januari tahun lalu.

‘Saya perlu bangkit untuk hidup’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Impian untuk memberikan kehidupan yang lebih sempurna kepada keluarga terpaksa dilupakan seketika oleh seorang bekas polis bantuan apabila dia diserang strok pada Ja­nuari tahun lalu.

Lebih menyedihkan apabila Jamaludin Yusoff, 53, kini tidak mampu lagi berjalan seperti biasa selain hilang keupayaan untuk bertutur dengan jelas.

Dia yang pernah berkhidmat sebagai askar sekitar tahun 1990-an berkata, dugaan yang dihadapinya ketika ini cukup besar.

Ketika ditemui Kosmo! di ke­diamannya di Bandar Saujana Putra, Jenjarom dekat sini, Jamaludin hanya mampu menitiskan air mata kerana mengenangkan nasibnya yang tidak lagi mampu bekerja seperti biasa demi menyara keluarga.

“Lebih memeritkan apabila pandemik Covid-19 melanda negara sehingga saya terpaksa mengharapkan sumbangan daripada kerajaan serta rakan rapat.

“Duit bantuan zakat daripada Majlis Agama Islam Selangor sebanyak RM400 sebulan merupakan satu-satunya punca pendapatan keluarga,” ujarnya.

Bapa kepada dua anak lelaki berusia 16 dan 15 tahun itu berkata, dia perlu berulang-alik ke hospital setiap minggu bagi menjalani fisioterapi.

Bagaimanapun, dia tetap bersyukur apabila rawatan di Hospital Putrajaya meringankan sedikit bebannya kerana hanya perlu membayar RM5 setiap sesi.

“Meskipun pernah hilang arah, saya bersemangat untuk kembali pulih dan menjalani kehidupan seperti biasa,” ujarnya lagi.

Tambah Jamaludin, beliau juga bersyukur mempunyai dua anak lelaki serta isteri yang tidak jemu menjaga dirinya dalam keadaan uzur ketika ini.

Sementara itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan menerusi akaun Maybank 164043713543 atas nama Jamaludin Yusof.

POPULAR