fbpx

Polis kesan petunjuk baharu kes jumpa mayat dalam gaung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PIHAK polis dengan bantuan Unit K9, forensik dan pakar patalogi daripada HTJ membawa salah suspek ke kawasan belukar di Taman Bukit Zamrud di sini bagi mengesan petunjuk atau bukti baharu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes penemuan mayat wanita tanpa identiti dalam gaung.

SEREMBAN – Polis berjaya menemui petunjuk baharu yang mempunyai kaitan dengan penemuan mayat seorang wanita tanpa identiti dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah di sini, Ahad lalu.

Tinjauan di lokasi mendapati, pihak polis bersama bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dipercayai telah membawa salah seorang daripada tiga suspek yang direman sebelum ini ke kawasan berlukar berhampiran tangki air di Taman Bukit Zamrud di sini pada pukul 4.30 petang untuk mencari petunjuk atau bukti baharu tersebut.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Datuk Che Zakaria Othman berkata, siasatan masih dijalankan berdasarkan maklumat yang diberitahu oleh suspek.

“Kes ini masih dalam siasatan di mana salah seorang suspek (yang direman sebelum ini) telah dibawa (untuk menyiasat bukti baharu), kita menyiasat berdasarkan apa yang dia (suspek) beritahu.

“Pihak polis bersama forensik dan pakar patalogi daripada Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban ada bersama dan kita harap akan dapat sesuatu,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian bukti baharu di Taman Bukit Zamrud di sini hari ini.

Jelas Che Zakaria, sama ada bukti baharu tersebut ada kaitan dengan kes penemuan mayat perempuan tanpa identiti dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah di sini, Ahad lalu ia masih dalam siasatan pihak polis dan perkembangannya akan dimaklumkan.

Dua lelaki masing-masing berusia 41 dan 44 tahun bersama seorang wanita berusia 18 tahun yang merupakan rakan mangsa ditahan di dua lokasi di daerah Seremban telah ditahan reman pada 22 Mac lalu kerana disyaki terbabit dengan penemuan mayat berkenaan.

Setakat pukul 7.30 malam tadi, pihak polis dengan Unit K9 masih meneruskan usaha mencari petunjuk baharu itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI