fbpx

Giatmara siapkan baju sekolah asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JAHITAN akan diteliti oleh tenaga pengajar sebelum diserahkan kepada golongan sasaran.

BAGI menyantuni golongan asnaf sempena program Kembali ke Sekolah, Giatmara Wilayah Persekutuan mengambil inisiatif melaksanakan satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui program latihan kemahiran modul Jahitan Baju Kurung.

Giatmara merupakan pusat latihan yang menawarkan latihan teknikal dalam pelbagai bidang kemahiran di seluruh negara.

Kesemua baju kurung sekolah yang dihasilkan diserahkan kepada tiga buah rumah anak yatim, dua buah sekolah dan beberapa orang asnaf yang berdekatan pada 22 Mac lalu menerusi satu majlis serahan pakaian seragam.

Dalam program itu, seramai 50 pelajar daripada lima Giatmara di Wilayah Persekutuan yang mengikuti Kursus Jahitan Pakaian Wanita terlibat menjahit baju seragam sekolah dengan bimbingan sembilan tenaga pengajar.

Lima buah Giatmara tersebut ialah Giatmara Kuala Lumpur, Giatmara Kepong, Giatmara Cheras, Giatmara Bandar Tun Razak dan Giatmara Lembah Pantai.

Selain mengasah latihan kemahiran yang dipelajari, para pelajar itu turut memperoleh pahala amal jariah dengan menyediakan kelengkapan pakaian persekolahan kepada murid-murid yang memerlukan sempena pembukaan sekolah sesi baharu 2022.

Menurut Pengarah Giatmara Wilayah Persekutuan, Nurul Azimah Mohd. Ani, sebanyak 105 pasang baju seragam sekolah disiapkan dalam masa 10 hari dan ia menjadi modul pembelajaran yang menggembirakan buat kesemua pelajar Giatmara.

“Menerusi program ini, pelajar dilatih teknik mengukur badan mengikut saiz, menggunting kain, penggunaan mesin dan seni jahitan pakaian.

Hasil jahitan menjadi satu produk yang boleh memberi manfaat kepada orang lain.

“Kesemua baju yang dihasilkan ini telah menjalani proses kawalan kualiti oleh para guru yang pakar.

“Hanya pakaian yang dijahit menepati kualiti dan kriteria sahaja disumbangkan kepada golongan asnaf yang telah dikenal pasti,” katanya.

PELAJAR mengambil masa 10 hari untuk menyiapkan jahitan.

Menerusi program tersebut, sebanyak 58 pasang baju seragam sekolah diserahkan kepada tiga buah rumah anak yatim berdekatan, dua buah sekolah rendah, manakala lebihan 57 pasang lagi diserahkan secara terus kepada anak-anak asnaf di seluruh Lembah Klang.

Katanya lagi, pihaknya amat berbangga dengan inisiatif kumpulan pelajar tersebut memandangkan rata-rata mereka masih lagi baru mempelajari ilmu jahitan selepas memasuki Giatmara pada awal Januari lalu.

Mengulas lanjut, program itu bukanlah pertama kali dilaksanakan memandangkan pada tahun-tahun sebelumnya ia pernah dilaksanakan pada skala kecil.

“Sebelum ini, program seperti itu hanya melibatkan satu cawangan Giatmara atau inisiatif pelajar dan tenaga pengajar.

“Jadi, jumlah pakaian yang dihasilkan juga sedikit, kira-kira 10 pasang diserahkan kepada komuniti asnaf terdekat yang telah dikenal pasti.

“Berbeza kali ini, yang mana ia dijalankan pada skala besar dengan menggabungkan lima buah Giatmara di Wilayah Persekutuan.

“Pengurusan Giatmara Wilayah Persekutuan mengucapkan tahniah kepada semua pelajar dan tenaga pengajar yang bertungkus lumus melaksanakan program ini.

“Objektif latihan modul kemahiran tercapai, malah dapat pula membantu mereka yang memerlukan baju sempena pembukaan sesi baharu persekolahan,” jelasnya.

Tambahnya, program seumpama itu akan diteruskan pada masa akan datang kerana ia dilihat memberi impak yang sangat baik kepada pelajar.

Mereka bukan sahaja belajar menjahit baju sekolah berkualiti, tetapi pada masa sama dididik untuk meningkatkan idea, selain memupuk bakat keusahawanan dalam diri sebaik tamat kursus kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI