fbpx
JULIA FARHANA

Bela anjing, Julia Farhana bukan liberal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AWAL Februari lalu, nama si cantik tinggi lampai, Julia Farhana tiba-tiba menjadi bualan dan tular dalam kalangan netizen menerusi media sosial.

Jika selebriti lain mungkin kecoh disebabkan kes putus cinta atau kejutan majlis perkahwinan secara tiba-tiba, tetapi kontroversi melibatkan Julia Farhana jauh berbeza.

Hanya disebabkan seekor anjing bernama Julio, namanya tiba-tiba menggoncang keselesaan ramai.

Lebih menghangatkan perdebatan netizen, Julio merupakan anjing peliharaan Julia. Aksi manja Julia mengusap anjing kesayangannya mudah menjadi sasaran serangan kemarahan ‘penjunjung’ hukum agama dalam media sosial.

Namakan segala bentuk kecaman, hentaman, makian, cacian tidak kurang juga yang menjadi ‘ustaz’ serta ‘ustazah’, semuanya menjatuhkan hukuman dunia buat pelakon berusia 28 tahun itu.

WANITA tinggi lampai ini bertegas dia bukanlah seorang yang bersifat liberal dalam kehidupan seperti yang dilabel netizen.

Beberapa jam selepas tularnya perkara tersebut, Julia sebaliknya tenang meleraikan amarah dan ketidakpuasan hati netizen.

Langsung tidak melatah apatah lagi gugup berdepan tohmahan, pemain seni berdarah kacukan Melayu-Itali itu juga menerima pendapat semua dengan hati terbuka.

“Beginilah, mungkin ramai sudah tahu dan mungkin tak pernah tahu, Julio itu sebenarnya lama sudah saya jaga sebagai haiwan peliharaan di rumah ini.

“Tetapi saya akui mungkin silap sendiri sebab seperti tidak kena seorang wanita berdarah Melayu dan beragama Islam membela dan menjaga seekor anjing yang sudah terang lagi bersuluh haram di sisi Islam.

“Apa yang berlaku sebenarnya banyak mematangkan saya bermula saat itu sampailah ke hari ini. Saya terima teguran, pandangan, persepsi dan pemahaman semua mengikut pendirian saya.

“Saya tak salahkan mereka. Mereka ada hak untuk menegur jika perkara yang saya lakukan memang salah di sisi agama. Tapi bukanlah bermaksud saya naif atau jahil tentang ajaran agama,” katanya sebagai introduksi bersama Pose.

Agama, hipokrit

Meneruskan kata-kata, Julia atau nama sebenarnya Julia Farhana Marin amat menghargai segala pandangan dan teguran netizen, selain berusaha menjadi Muslim yang lebih peka.

Kata pelakon drama Love In Lockdown itu lagi, sehingga kini dia masih belajar untuk memelihara haiwan tersebut agar tidak bertentangan dengan hukum agama.

“Mungkin ramai fikir selepas ini saya sudah tidak lagi menjaga Julio. Itu sama sekali tidak benar sebab bagi saya, Julio juga berhak disayangi cuma saya perlu lebih sensitif.

JULIA mengakui langsung tidak ambil hati atau gelabah apabila diserang netizen mengenai isu membela anjing peliharaan yang diberi nama Julio.

“Jujur saya katakan, saya sendiri tidak pernah menyentuhnya tanpa berlapik.

“Bagaimana orang sayang dengan kucing, begitu juga pendirian saya,” katanya yang menegaskan urusan makan, minum, mandi dan membuang najis haiwan tersebut semuanya diuruskan pembantu rumah yang bukan beragama Islam.

Ditebak mengenai dirinya yang perlu lebih sensitif dan berfikir terlebih dahulu sebelum memuat naik sebarang hantaran berkaitan anjing peliharaannya, wanita kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu ada jawapan tersendiri.

Katanya, dia tidak mahu dicop sebagai hipokrit dan tetap akan mengekalkan sikap jujur sama seperti sebelumnya.

“Dalam hal ini, saya tak nak jadi hipokrit atau orang kata berpura-pura. Bukan sahaja berkaitan dengan Julio, tetapi termasuklah kisah peribadi dan keluarga,” ujarnya.

Liberal

Mengenai dirinya yang dilabel liberal kerana dilihat seakan-akan terikut-ikut dengan gaya hidup Barat, Julia bertegas keperibadiannya bercanggah dengan apa yang difikirkan ramai.

Biarpun gaya hidupnya lebih terarah kepada budaya Barat dan tidak ketara sifat ketimuran kebanyakan orang, bukan bermaksud dia memilih liberal sebagai pegangan hidup.

UJAR Julia, dia menerima segala teguran dan kritikan netizen kerana membela seekor anjing, namun tegasnya, apa yang dilihat orang ramai menerusi media sosial bercanggah dengan keperibadi sebenar dirinya.

“Bagi saya, dilabel sebagai seorang wanita liberal tanpa dikenali secara dekat, itu salah sama sekali.

“Mereka sendiri tidak kenal saya secara peribadi cuma lihat saya dalam media sosial sahaja. Tapi itu semua terpulang kepada mereka, macam saya katakan, saya tak boleh henti untuk sesiapa menghakimi,” katanya.

Membina

Tutup sekejap semua perihal kontroversi dan isu yang menghimpit dirinya, Julia memberitahu, sejak lima tahun kebelakangan ini, dia terpaksa menjadi sedikit selektif dalam setiap tawaran yang diterimanya.

Selektif kata Julia bukan bermaksud memilih atau mementingkan bayaran secara membabi buta, tetapi semuanya berdasarkan tawaran yang lebih membina dari lakonan dan perkembangan kerjaya.

Julia FARHANA kini sedang memasuki fasa hanya akan fokus kepada sesebuah naskhah yang lebih membina demi kematangan karier lakonannya.

“Alhamdulillah tawaran datang seperti biasa. Saya baru habis penggambaran beberapa drama untuk stesen televisyen sempena Ramadan dan Aidilfitri nanti.

“Ada juga yang saya terpaksa tolak dan tidak dapat ambil kerana mahu fokus pada skrip, jalan cerita, pengarah dan beberapa aspek yang membina dan menaikkan graf kerjaya lakonan saya,” katanya menoktahkan bicara.

POPULAR