fbpx
SEORANG PATI dikenakan bayaran RM1,500 untuk bekerja di Malaysia.

Sindiket mula sibuk seludup pekerja asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Pembukaan sempadan negara bermula 1 April ini bukan sahaja menarik minat pekerja asing untuk masuk secara sah, malah turut membuka ruang kepada sindiket penyeludupan untuk menguruskan kemasukan beramai-ramai pendatang asing tanpa izin (PATI).

Lebih menarik, kehadiran PATI ini ke Malaysia bukan dengan ‘tangan kosong’, sebaliknya mereka telah ditawarkan kerja oleh ejen-ejen terlibat bagi memenuhi pasaran tempatan.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, berdasarkan risikan pihaknya, seramai 200 hingga 300 PATI dijangka memasuki negara setiap minggu khususnya di Selangor.

Katanya, ini menunjukkan pe­ningkatan sehingga enam ka­li ganda berbanding hanya 50 orang sebelum ini dengan laluan darat turut digunakan sebagai alternatif selain laluan di sempadan laut.

“Kadar bayaran bagi seorang PATI juga telah meningkat men­cecah RM1,500 seorang susulan permintaan tinggi terhadap tenaga kerja warga asing.

“Tambahan pula, banyak sektor sedang berusaha meningkatkan kapasiti kerja atau pengeluaran mereka selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 sebelum ini,” katanya kepada ­Kosmo! baru-baru ini.

SEBAHAGIAN warga asing yang ditahan pasukan keselamatan negara kerana memasuki negara ini secara haram di Sungai Besar, Sabak Bernam tahun lalu. – IHSAN PGA

Rizal memberitahu, bagi memudahkan proses penyeludupan, sindiket ini akan meminta majikan yang terlibat untuk membayar dahulu kos membawa masuk pekerja asing berkenaan.

“Segala hutang termasuk tambang dan bayaran memasuki negara ini akan dilangsaikan menerusi penolakkan gaji PATI secara ansuran setiap bulan.

“Ini adalah serampang tiga mata iaitu sindiket dapat mengaut untung, PATI tidak perlu memikirkan bayaran, manakala majikan pula mendapat pekerja dengan cara mudah tanpa mela­lui prosedur ditetapkan kerajaan,” tegasnya.

Kata beliau, antara pekerjaan yang biasanya ditawarkan sindiket adalah dalam sektor pembinaan, sektor kulinari se­perti pekerja restoran atau kantin, sektor perladangan dan pekerja pembersihan dengan tawaran gaji antara RM900 hingga RM2,500.

Jelas Rizal, hasil siasatan, terdapat tiga sindiket yang mendalangi penyeludupan ini dengan kebanyakan ahli kumpulannya mempunyai hubungan kekeluargaan seperti adik-beradik dan saudara mara.

“Kumpulan ini ada tapak atau laluan khas yang dijaga mereka seperti di Kuala Selangor, Klang dan Kuala Langat. Mereka bagaimanapun tidak terlibat dengan kongsi gelap.

“Sepanjang tahun 2020 hingga tahun ini, seorang lelaki tempatan yang merupakan dalang penyeludupan PATI telah ditangkap di se­kitar kawasan Belangkan, Ne­geri Sem­bilan,” katanya.

Jelasnya lagi, bagi memudahkan operasi penyeludupan tersebut, sindiket ini akan menggunakan khidmat tekong-tekong darat dan laut yang berpengalaman.

“Mereka ini terdiri daripada pekebun, tukang rumah, nelayan dan segelintirnya merupakan pekerja kilang perindustrian.

“Berdasarkan hasil tangkapan sebelum ini, bayaran diterima tekong darat adalah lebih tinggi bagi satu kepala iaitu antara RM300 hingga RM500 berban­ding tekong laut pada kadar RM200 sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, trend menggunakan perkhidmatan aplikasi e-hailing dan teksi kerap digunakan bagi mengelak daripada dihidu pihak berkuasa.

“Hasil lumayan menjadi pendorong bagi pemandu ke­dua-dua perkhidmatan itu menjadi tali barut apabila mampu me­raih bayaran sehingga dua atau tiga kali ganda,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN