fbpx

Jenazah Amran Tompel selamat dikebumikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenazah Amran Tompel selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang, Seremban kira-kira pukul 9.45 malam. /FOTO ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

SEREMBAN – Jenazah pelakon dan pelawak, Amran Tompel, 72, atau nama penuhnya Amran Aman Ramlie selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang di sini kira-kira pukul 9.45 malam sebentar tadi.

Jenazah Allahyarham yang meninggal dunia kira-kira pukul 4.43 petang tadi sebelum itu telah dibawa ke Masjid Bandar Baru Senawang di sini untuk urusan solat jenazah.

Bekas isteri Allahyarham, Anas Salmee Syed Mohammad, 53 berkata, Amran meninggal dunia di rumahnya di Taman Matahari Height, Senawang selepas beberapa tahun terlantar akibat diserang beberapa penyakit seperti angin ahmar, kencing manis dan darah tinggi.

“Sejak beberapa hari lalu arwah tiada selera makan. Saya ada nampak dia lain hari ini dan tidak banyak bercakap. Ketika kejadian, saya sedang memasak, anak saya Suhaili sedang berada di ruang tamu. Suhaili kemudian beritahu arwah sudah tiada,” katanya ketika ditemui sebentar tadi.

Turut kelihatan hadir pada majlis pengkebumian tersebut ialah adik beradik Allahyarham, pelakon terkenal AR Badul dan Adlin Aman Ramlie.

Allahyarham merupakan anak kepada pelakon, pelawak dan pengarah, Allahyarham AR Tompel bersama pelakon, P. Suriati.

Amran yang lahir di Singapura aktif mewarnai industri lakonan tanah air sekitar dan pernah membintangi beberapa buah drama dan filem antaranya Buai Laju-laju, Tak Ori Tapi Ok, Salah Bapak, Bilut, Baik Giler, Lu, Gua, Bro, Gerak Khas dan banyak lagi.

Allahyarham turut meninggalkan empat anak iaitu dua orang lelaki dan dua orang perempuan berusia 22 hingga 29 tahun. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI