fbpx

Ukraine dakwa komplot dalaman untuk racuni Putin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai-pegawai tertinggi Putin didakwa sedang merancang plot untuk menyingkirkan Putin daripada kuasa. – TASS

KIEV – Pegawai-pegawai perisikan Ukraine mendakwa bahawa kelompok elit Rusia sedang menyusun rancangan menyingkirkan Presiden Vladimir Putin daripada kedudukannya termasuk dengan cara meracuni pemimpin berkenaan, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Ketua Direktorat Perisikan Kementerian Pertahanan Ukraine berkata, sekumpulan ‘orang dalam’ yang berpengaruh di Moscow sedang merancang komplot untuk menjatuhkan Putin.

Matlamat kumpulan tersebut adalah untuk menggulingkan Putin secepat mungkin dan memulihkan kembali hubungan ekonomi dengan Barat.

Agensi perisikan Ukraine itu turut mendakwa bahawa pengganti Putin juga sudah dinamakan  iaitu Pengarah Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB), Oleksandr Bortnikov.

Pegawai-pegawai berpengaruh di Moscow dikatakan kecewa dengan peperangan pimpinan Putin serta sekatan yang dikenakan ke atas ekonomi Rusia.

“Kami mendapat tahu bahawa Bortnikov dan beberapa wakil berpengaruh di Moscow sedang mempertimbangkan beberapa pilihan untuk menjatuhkan Putin daripada kedudukannya.

“Antara cara yang dipertimbangkan adalah meracuni, penyakit mengejut atau apa-apa insiden ‘kebetulan’,” kata Ketua Direktorat Perisikan.

Bortnikov, 70, merupakan sekutu rapat dengan Putin. Mereka mendaki tangga kerjaya secara bersama-sama.

Kedua-duanya juga dilaporkan pernah berkhidmat dalam Jawatankuasa Keselamatan Negara (KGB) di Leningrad, sebelum Bortnikov mengambil alih agensi keselamatan yang dijenamakan semula itu.

Bagaimanapun, terdapat laporan yang menyatakan bahawa Bortnikov kini tidak memihak kepada Putin disebabkan beberapa kesilapan yang dilakukan dalam peperangan dengan Ukraine.

Satu sumber risikan Ukraine turut mendedahkan bahawa Bortnikov baru-baru ini telah dihina oleh Putin.

“Alasan rasmi kepada penghinaan itu adalah kesilapan pengiraan angka kematian dalam perang melawan Ukraine.

“Bortnikov dan jabatannya bertanggungjawab untuk menganalisis keupayaan tentera Ukraine,” ujarnya. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI