fbpx

Roti canai naik harga marah, rokok boleh beli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Roti canai Melayu paling digemari namun kebanyakan peniaga masih menjualnya RM1 walaupun barang mentah naik harga.

Apa makanan berasaskan tepung yang paling digemari rakyat Malaysia? Jawapannya sudah pasti roti canai Me­layu.

Makanan yang memerlukan pembuatnya menebar doh tepung yang siap diuli itu memang sedap dimakan dengan kuah dal, sambal dan kari. Lagi sedap kalau ada kari kambing.

Peniaga roti canai Melayu merupakan golongan yang dilahirkan dengan kemahiran individu istimewa. Mereka ini tahan panas, berdiri lebih enam jam, sabar dengan kerenah pelanggan dan budiman. Paling penting ialah mereka mahir menebar.

Walaupun semua orang tahu mengenai hal itu tetapi sesetengah daripada pelanggan tidak boleh terima sekiranya sekeping roti canai dinaikkan harga. Tetapi yang menghairankan, rokok yang mahal dan membahayakan kesihatan mampu pula dibeli!

Stigma roti canai Melayu yang lembut walaupun sudah sejuk tidak boleh dijual melebihi RM1 kekal dalam kalangan masyarakat. Tetapi yang hairan jika di restoran mamak kenaikan itu dilihat biasa.

Isu kenaikan harga barang untuk membuat roti canai sudah lama membelenggu golongan ini. Harga tepung, marjerin, telur, bawang, kacang dal, cili kering, kentang, santan, daging kambing, ayam dan minyak masak sudah lama mengalami lonjakan.

Paling tak tahan ialah apabila ada dalam kalangan pemborong yang memilih bulu dengan hanya menjual berkotak-kotak tepung bersubsidi seperti cap feri dan kunci kepada regular customer.

Sebaliknya peniaga yang tidak dikenali atau lebih malang kepada mereka yang baharu bergelar penebar roti menjadi mangsa permainan pemborong dan peruncit yang mengehadkan jualan atas alasan tiada stok.

Sebenarnya, ramai dalam kalangan peniaga roti canai mengambil sikap ihsan menyerap kenaikan harga barang dengan mengekalkan kualiti dan saiz doh demi menjaga pelanggan masing-masing.

Sebagai orang yang pernah berada dalam industri pembuatan roti canai, kenaikan harga antara 20 hingga 50 sen patut dilakukan oleh peniaga ketika ini.

Hendak buat kuah dal, sambal dan kari memerlukan kos besar yang menelan keuntungan menjual roti canai. Selalunya kuah mencicah roti dianggap percuma oleh pelanggan. Mereka hanya mahu bayar cuma roti canai sahaja.

Jika kedekut sangat hendak mengeluarkan sedikit wang bagi menikmati sekeping roti canai, memadailah menghargai kemahiran menebar yang dimiliki golongan ini. Sejujurnya, menebar roti bukan perkara mudah untuk dipelajari dan dikuasai kerana memerlukan latihan dan fokus.

Tidak keterlaluan jika dikatakan kerajaan juga perlu memberi perhatian khusus kepada penebar roti canai dengan menubuhkan konsortium atau persatuan berdaftar demi menjaga kemahiran unik yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia sejak sekian lama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI