fbpx

Penduduk dunia semakin pemurah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUKARELAWAN menyediakan makanan untuk pelarian Syria di sebuah pusat perlindungan sementara di Aleppo pada 7 Mei 2020. – AFP

BANDAR RAYA NEW YORK – Satu laporan mengenai tahap kebahagiaan penduduk dunia mendapati bahawa krisis telah meningkatkan amal kebajikan dan perasaan saling membantu dalam kalangan masyarakat bagi berdepan dengan pelbagai konflik, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Laporan Kebahagiaan Dunia yang dikeluarkan oleh Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dibuat berdasarkan data kaji selidik penduduk di 150 buah negara.

Ia mengkaji kebahagiaan penduduk dunia, negara-negara dengan penduduk paling bahagia dan tidak bahagia serta faktor-faktor yang membawa kepada keadaan-keadaan tersebut.

Selepas dua tahun hidup dalam persekitaran pandemik Covid-19, laporan yang memasuki tahun ke-10 itu menemui hasil di luar jangkaan.

“Apa yang mengejutkan adalah secara global, terdapat peningkatan besar bagi tiga jenis amal kebajikan iaitu memberi sumbangan derma kepada pertubuhan kebajikan, membantu orang asing dan kerja-kerja sukarelawan,” kata salah seorang pengarang laporan, John Helliwell.

Tambah Helliwell, bantuan kepada orang asing meningkat pada tahun lepas berbanding sebelum pandemik dengan kadar yang signifikan di kebanyakan negara seluruh dunia.

“Purata global bagi ketiga-tiga bentuk amal kebajikan itu didapati meningkat 25 peratus pada 2021 berbanding tempoh sebelum pandemik,” ujarnya.

Berdasarkan Laporan Kebahagiaan Dunia 2022, Finland menjadi negara paling bahagia di dunia untuk tahun kelima berturut-turut.

Negara Nordic dan sekitarnya seperti Denmark, Norway, Sweden dan Iceland turut mendapat mata tertinggi dengan Denmark di tempat kedua, Iceland ketiga, Sweden di tempat ketujuh dan Norway di tangga kelapan.

Menurut laporan tersebut, faktor yang menjadi penyumbang kepada situasi itu adalah jangka hayat yang sihat, Keluaran Dalam Negara Kasar per kapita, bantuan sosial pada waktu sukar, kes rasuah yang rendah dan kepercayaan sosial yang tinggi.

Turut menjadi penyebab utama adalah sifat pemurah masyarakat di mana orang ramai bersama-sama menjaga antara satu sama lain serta kebebasan untuk membuat keputusan penting dalam kehidupan.

Menurut Helliwell, krisis di seluruh dunia telah memberikan kesan yang positif dan buruk pada masa sama bagi masyarakat dunia.

“Bagaimanapun secara umum, orang ramai optimis dengan perasaan muhibah dalam masyarakat mereka. Jadi, apabila berlakunya bencana dan mereka lihat ramai orang memberikan sumbangan, mereka turut sama terdorong untuk melakukan hal sama.

“Penduduk dunia lebih bekerjasama untuk berdepan dengan krisis-krisis tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, menurut laporan yang sama, Malaysia berada pada kedudukan ke-70, dengan mencatatkan trend penurunan bagi tempoh empat tahun lepas.

Pada 2018, negara ini berada pada tangga ke-35 bagi negara paling bahagia di dunia, dan terus merosot ke kedudukan ke-80 pada 2019, 82 pada 2020 dan 81 bagi 2021. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI