fbpx

Finland negara paling bahagia di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Finland kekal sebagai negara paling bahagia di dunia untuk tahun ketujuh. - Julia Kivela/Visit Finland

HELSINKI – Finland kekal menjadi negara paling bahagia di dunia untuk tahun ketujuh berturut-turut berdasarkan satu laporan tahunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan hari ini.

Dalam Laporan Kebahagiaan Dunia itu, Denmark menduduki tempat kedua, diikuti dengan Iceland, Sweden, Belanda, Norway, Luxembourg, Switzerland dan Australia.

Afghanistan yang dilanda krisis kemanusiaan berterusan, berada di tempat tercorot iaitu 143.

Malaysia pula menduduki tempat ke-59 dalam laporan tersebut di belakang beberapa negara Asia lain seperti Arab Saudi yang berada di tempat ke-28, Singapura (30), Korea Selatan (52), Filipina (53), Vietnam (54) dan Thailand (58).

Buat pertama kali sejak laporan itu diterbitkan lebih sedekad lalu, Amerika Syarikat dan Jerman terkeluar daripada senarai berkenaan, masing-masing berada di tempat ke-23 dan ke-24.

Sebaliknya, Costa Rica dan Kuwait memasuki senarai 20 teratas iaitu pada kedudukan ke-12 dan 13.

Ranking negara-negara itu disusun berdasarkan penilaian diri individu terhadap kepuasan hidup, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita, sokongan sosial, jangka hayat yang sihat, kebebasan, kemurahan hati dan amalan rasuah.

Seorang penyelidik kebahagiaan di Universiti Helsinki, Jennifer De Paola memberitahu AFP bahawa hubungan rapat penduduk Finland merupakan penyumbang utama kepada kepuasan hidup mereka selain keseimbangan antara kerjaya dengan kehidupan yang sihat.

Tambahnya lagi, program kebajikan Finland yang kukuh, kepercayaan kepada pihak berkuasa, kadar rasuah yang rendah serta penjagaan kesihatan dan pendidikan percuma menjadi faktor utama bagi kebahagiaan penduduk.

“Masyarakat Finland mempunyai rasa amanah, kebebasan, dan tahap autonomi yang tinggi,” kata De Paola. – AFP/AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI