fbpx

Zimbabwe negara paling sengsara di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kadar inflansi yang tinggi menyebabkan Zimbabwe menduduki tempat pertama sebagai negara paling sengsara di dunia. - AFP

WASHINGTON – Zimbabwe dinamakan sebagai negara paling sengsara pada tahun lalu, didorong oleh kadar inflasi yang tinggi serta pengurusan ekonomi yang tidak ditadbir dengan betul, demikian menurut laporan Indeks Kesengsaraan Tahunan Steve Hanke (HAMI).

Akhbar New York Post melaporkan, senarai itu diperoleh berdasarkan skor HAMI bagi setiap negara dengan menggunakan kaedah yang menetapkan pengangguran, inflasi, kadar pinjaman bank dan peratusan perubahan dalam keluran dalam negara kasar (KDNK) sebagai penentu kedudukan.

Senarai yang melibatkan 157 buah negara itu menyalahkan parti politik yang memerintah Zimbabwe, ZANU-PF dan dasar-dasarnya sehingga menimbulkan kesengsaraan meluas dalam kalangan rakyatnya.

“Dasar-dasar Zimbabwe telah menyebabkan keadaan sengsara yang serius.

“Contohnya, negara itu telah menghadapi ‘endemik’ inflasi sejak era bekas presiden, Robert Mugabe termasuk dua episod hiperinflasi, di mana kadar inflasi melepasi 50 peratus sebulan,” kata Hanke, yang merupakan profesor ekonomi gunaan di Universiti Johns Hopkins.

Senarai tersebut selain itu meletakkan Venezuela di tempat kedua, dan diikuti dengan Syria, Lebanon, Sudan, Argentina, Yemen, Ukraine, Cuba serta Turkiye yang menduduki kelompok 10 negara teratas yang paling sengsara di dunia.

“Kita sudah menjangkakan bahawa sebuah negara yang terlibat dalam perang saudara selama lebih 12 tahun tidak memiliki kebahagiaan sehingga kini,” ujar Hanke sebagai merujuk kepada Syria.

Amerika Syarikat (AS) menduduki tempat ke-134 dalam senarai itu dengan pengangguran menjadi punca utama rakyatnya tidak bahagia.

“Keadaan manusia adalah terletak pada spektrum yang luas antara sengsara dan gembira,” ujar Hanke.

Beliau menjelaskan bahawa satu-satunya cara untuk mengurangkan kesengsaraan negara yang menghadapi lonjakan kadar inflasi, kos pinjaman tinggi serta pengangguran adalah dengan mengembangkan ekonomi masing-masing.

“Membandingkan negara-negara berdasarkan pengukuran sistem standard boleh memberitahu kita banyak perkara mengenai keadaan dunia, sama ada penduduknya sedih atau gembira,” tambahnya.

Dalam pada itu, Switzerland mencatatkan skor HAMI yang paling rendah sekali gus bermaksud rakyatnya adalah yang paling gembira.

“Satu sebab untuk itu adalah kadar hutang negara tersebut,” tulis Hanke dengan merujuk kepada nisbah hutang kepada KDNK yang rendah.

Kelompok seterusnya bagi negara paling gembira yang diukur berdasarkan kedudukan tercorot skor HAMI adalah Kuwait, Ireland, Jepun, Malaysia, Taiwan, Niger, Thailand, Togo dan Malta. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI