fbpx

Farewell Spit lokasi paus terdampar di New Zealand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail bertarikh 11 Februari 2017 menunjukkan bangkai paus pilot terdampar di pantai beting pasir Farewell Spit. - AFP

WELLINGTON – Lebih 24 ekor paus mati dalam insiden terdampar besar-besaran di sebuah pantai New Zealand yang dikenali sebagai perangkap maut bagi spesies tersebut, kata beberapa renjer hidupan liar semalam.

Jabatan Konservasi menyatakan, sebanyak 29 ekor paus pilot sirip panjang itu sudah mati apabila kawanan terdiri daripada 34 mamalia berkenaan ditemui di pantai terpencil, Farewell Spit, Pulau Selatan lewat kelmarin.

Jurucakap Jabatan Konservasi, Dave Winterburn berkata, renjer-renjernya sedang menjaga lima paus yang terselamat tetapi memberitahu bahawa haiwan itu berada di daratan untuk tempoh yang agak lama.

“Walaupun peristiwa ini menyedihkan, paus terdampar adalah fenomena semula jadi.

“Punca ia terkandas tidak diketahui,” katanya.

Farewell Spit yang merupakan kawasan beting pasir sepanjang 26 kilometer telah menyaksikan lebih 10 kejadian paus pilot terdampar sejak 15 tahun lalu.

Insiden terbesar berlaku pada Februari 2017, apabila hampir 700 ekor paus itu terdampar dan mengakibatkan 250 kematian.

Saintis-saintis tidak jelas tentang mengapa pantai itu sangat berbahaya kepada ikan paus. Satu teori menyatakan bahawa kawasan itu menghasilkan dasar laut cetek yang mengganggu sistem navigasi sonar paus.

Paus pilot adalah spesies ikan paus yang paling biasa di perairan New Zealand dan  sangat terdedah kepada fenomena terdampar secara besar-besaran.

Paus itu boleh membesar sehingga mencapai panjang 6 meter. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI