fbpx

Deruman F1 bakal kembali ke Sepang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KALI terakhir Litar Sepang menjadi penganjur F1 adalah pada 2017 selepas memulakan debut pada 1999.

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) tidak menolak kemungkinan untuk membawa semula perlumbaan Formula Satu (F1) ke Malaysia, namun ia bergantung kepada ‘kantung’ kewa­ngan keseluruhan bagi menganjurkan perlumbaan berprestij tersebut.

Sepang antara litar yang dikaitkan untuk menganjurkan semula perlumbaan F1 selepas Grand Prix (GP) Rusia di Litar Sochi dibatalkan berikutan tindakan Rusia melakukan pencerobohan ke atas Ukraine.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, ketika ini pihaknya masih belum menerima sebarang tawaran daripada pihak F1 meskipun sebelum ini Malaysia antara dikaitkan untuk menggantikan GP Rusia.

“Buat masa ini kita tidak dapat sebarang tawaran daripada pihak F1 untuk menggantikan GP Rusia yang dibatalkan baru-baru ini.

“Ketika ini, kita bergantung kepada tawaran F1 dan juga Kerajaan Malaysia mengenai peluang untuk bawa semula F1 ke Sepang. Jika nak ikutkan, saya juga rindu untuk melihat semua perlumbaan F1 ke negara kita,” katanya pada sesi sidang akhbar secara maya semalam.

Dalam pada itu, Shafriman turut menegaskan, segala keputusan akhir bergantung kepada perbincangan menyeluruh dengan pihak kerajaan terutama mengenai kos dan pulangan setimpal kepada negara.

“Kita akan buat pertimbangan sewajarnya terutama kedudukan kewangan dan sama ada perlumbaan F1 ini mampu membawa pulangan setimpal dengan apa yang dilaburkan oleh pihak kerajaan.

“Kita juga dalam fasa untuk beralih dari pandemik ini dan kita akan timbang sewajarnya sekiranya mendapat tawaran. Jika tawaran berbaloi mungkin kita akan anjurnya semula,” ujarnya.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menganjur perlumbaan terkemuka dunia tersebut pada 2017, namun kontrak tersebut tidak dilanjutkan berikutan pulangan menurun serta kos operasi semakin meningkat selepas mula menganjurkannya pada tahun 1999.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI