fbpx

Resipi asal tambah lazat ikut cita rasa tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. FAKHRUDDIN (kanan) dan pekerjanya menunjukkan beberapa menu yang menyelerakan di Chortiez & Co di Taman Sena Indah, Kangar.

MENIKMATI makan malam sambil bersantai melayan irama lagu yang dipersembahkan oleh kumpulan muzik secara langsung atau live band pastinya dapat melapangkan minda setelah seharian penat bekerja.

Dihidangkan pula dengan pelbagai pilhan menu makanan Barat dan Cina, pastinya menambat selera seisi keluarga yang berkunjung ke Chortiez & Co yang terletak di Taman Sena Indah, Kangar, Perlis.

Pengurusnya, Mohd. Fakhruddin Abd. Latif, 38, berkata, restoran yang diasaskan oleh sahabatnya, Wan Azuan atau lebih dikenali sebagai Chott mula beroperasi sejak 2016.

Katanya, dia mengambil alih pengurusan restoran itu pada 2018 apabila Chott mula sibuk dan perlu memberi tumpuan kepada urusan lain.

Katanya, pada peringkat permulaan mengambil alih restoran tersebut, konsep diperkenalkan adalah lebih kepada tempat lepak golongan muda sambil melayan muzik.

Ini kerana, tidak ada tempat yang seumpamanya di Perlis ketika itu.


NASI goreng daging Sze Chuan membangkitkan selera.

Menurutnya, dia yang dahulunya bekerja di luar pesisir sebagai juru ukur selama 13 tahun di beberapa negara mengambil idea daripada pengalamannya untuk konsep restoran berkenaan.

“Konsep kami lebih kurang seperti kafe di Jakarta yang mana anak muda dapat berkumpul dan bersantai di sini.

“Ini dapat mengelakkan aktiviti kurang sihat seperti ‘merempit’ dan sebagainya. Persembahan live band ada di sini setiap hari Jumaat dan Sabtu.

“Lama kelamaan, kami dapati mereka yang berkeluarga juga datang makan di sini. Jadi, sejak itu kami mula mempelbagaikan menu yang sesuai untuk keluarga dan segenap lapisan masyarakat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mohd. Fakhruddin memberitahu, restoran itu dibuka dari pukul 6 petang hingga 11 malam setiap hari kecuali Ahad.

“Kami menawarkan kira-kira 70 jenis makanan pada harga bermula daripada RM8 hingga RM35,”ujarnya.

ANTARA sajian makanan Barat yang mendapat sambutan daripada pelanggan yang datang ke restoran tersebut.

Jelasnya, ada juga menu yang diinspirasikan daripada pengalamannya bekerja di luar negara serta resipi daripada rakan-rakan semasa bekerja yang diolah bagi menepati cita rasa tempatan.

“Semasa saya bekerja di luar negara dahulu, saya suka bertanya dengan cef-cef di sana berkaitan penyediaan makanan dan resipi hidangan yang saya suka.

“Bila saya balik, saya olah kembali mengikut lidah orang tempatan.
“Sebagai contoh untuk menu New York Steak, teknik penyediaannya saya belajar daripada cef semasa bekerja di Turkmenistan, manakala Aussie Lamb Grill pula saya belajar daripada kawan di Australia,” ujarnya

Dalam pada itu, Mohd. Fakhruddin yang juga pemilik kepada Kopi Gantung Perlis yang kini sudah mempunyai 200 cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak memberitahu, restoran itu baru beroperasi semula pada awal Disember tahun lalu setelah ditutup ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tambahnya, restoran yang mempunyai 28 pekerja termasuk tujuh orang tukang masak itu terjejas akibat PKP sehingga mereka memilih untuk tidak membukanya dan menumpukan perniagaan kepada Kopi Gantung Perlis.

“Alhamdulillah, Kopi Gantung Perlis banyak membantu kami sepanjang tempoh tersebut. Hingga kini, kami sudah ada 200 cawangan di seluruh negara,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI