MELANGKAH ke musim baharu kejuaraan Cub Prix 2022, pasukan Tobaki Pink Racing (Pink Racing) mengibarkan amaran kepada pesaing-pesaingnya dengan barisan pelumba hebat yang serius untuk memberikan cabaran selain berazam memperbaiki pencapaian pasukan tahun lalu.
Pada tahun ini, Pink Racing turut mempertaruhkan tiga lagi pelumba muda berbakat iaitu Mohammad Irfan Danish Mohd. Afran, Danny Mikhail Khairul Fauzi dan Nur Dini Uzma Abdullah bagi mengibarkan cabaran pasukan tersebut dalam kategori Wira pada Cub Prix 2022.
Salah seorang pelumba yang bakal mencuri tumpuan para peminat arena permotoran negara adalah gadis berusia 17 tahun, Nur Dini Uzma.
—————————————————————————————————————————————————————
BAHANG permukaan Litar Antarabangsa Sepang (Utara), Selangor pada tengah hari Sabtu lalu cukup terasa panasnya dengan suhu mencecah 50 darjah Celsius.
Suasana tersebut seiring dengan kehangatan sesi kelayakan Kejuaraan Cub Prix Malaysia (Cub Prix) yang membuka tirai perlumbaan bagi musim baharu 2022.
Sesi kelayakan berlangsung selama 15 minit itu menyaksikan seramai 25 pelumba kategori CP125 berentap memburu masa terbaik bagi menentukan petak perlumbaan pada Ahad.
Salah seorang pelumba yang turut merasai kehangatan persaingan pada sesi kelayakan di litar sepanjang 2.706 kilometer itu ialah Saiful Azhary Muhamad.
Sewaktu sesi kelayakan, pelumba pasukan Tobaki Pink Racing (Pink Racing) yang berusia 22 tahun itu berjaya mencatatkan masa 1:23:626 bagi membolehkannya berada pada kedudukan ke-16 daripada 25 pencabar.
Kedudukan tersebut bukanlah pengakhiran buat pelumba berasal dari Kulai, Johor itu memandangkan dia masih berpeluang membaiki prestasinya pada hari perlumbaan nanti.

“Pada tahun ini, perebutan tempat terbaik bagi perlumbaan kategori CP125 cukup mencabar memandangkan terlalu ramai pelumba berbakat besar.
“Ada pelumba baharu daripada kategori Wira dan C150 yang lebih senior telah menyertai kategori ini. Saya harap dapat mengutip sebanyak mungkin mata pada esok,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Namun, pada hari perlumbaan, nasib malang menimpa Saiful Azhary apabila dia terkeluar daripada perlumbaan pada pusingan ketujuh.
Situasi tersebut sama sekali tidak mematahkan semangat anak bongsu daripada lima beradik itu untuk mencatatkan keputusan lebih baik pada pusingan perlumbaan berikutnya di Tangkak, Johor.
Bagi Saiful Azhary, dia masih kekal dengan sasaran untuk muncul juara keseluruhan bagi kategori CP125 pada Cub Prix 2022 selepas memasuki tahun kedua bersama pasukan Pink Racing.
Katanya, dia bersama seorang lagi pelumba Pink Racing dalam kategori CP125, Muhamad Harith Farhan Baharin akan melakukan yang terbaik pada setiap pusingan perlumbaan.
“Pada tahun lalu, ia boleh dianggap sebagai fasa menyesuaikan diri dan mencari keselesaan dengan jentera CP125 memandangkan sebelum ini saya berlumba dalam CP115.
“Pada 2022, sasaran saya lebih besar iaitu menjadi juara keseluruhan meskipun pasukan hanya menetapkan sasaran supaya mengumpul sebanyak mungkin mata pada setiap perlumbaan.
“Sasaran juara keseluruhan bukan sesuatu yang mustahil sekiranya saya dapat mencari pelarasan terbaik pada setiap pusingan perlumbaan,” terangnya lagi.
Saiful Azhary juga ingin memanfaatkan sepenuhnya kemahiran dan pengalamannya bekerja sebagai mekanik di bengkel bapa selama tiga tahun.
Ujarnya, kemahiran membaik pulih kenderaan dua roda itu sedikit sebanyak memudahkannya memberi maklum balas dan berkomunikasi dengan mekanik mengenai kekurangan yang ada pada jentera.

AKSI Saiful Azhary (belakang) dan Muhamad Harith Farhan (depan) semasa sesi kelayakan bagi kategori CP125 di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini.
“Di kampung, bapa saya ada sebuah bengkel motosikal. Saya selalu tolong dia di bengkel dahulu sebelum mengambil keputusan untuk bekerja di situ.
“Situasi ini memberi kelebihan kepada saya untuk berinteraksi dan memberi pendapat kepada mekanik bagi meningkatkan prestasi motosikal,” ujar pemuda berjiwa kental itu.
Mengimbau kembali perjalanan kariernya dalam arena permotoran, Saiful Azhary berkata, segalanya bermula dengan hadiah hari ulang tahun kelahirannya yang ketujuh.
Cerita Saiful Azhary, bapanya telah menghadiahkan sebuah motosikal mini berharga RM2,000 sebelum mengorak langkah menyertai beberapa perlumbaan yang berlangsung di sekitar Johor.
“Saya minat dengan motosikal sebelum berusia tujuh tahun lagi. Bapa tengok saya terlalu minat dengan motosikal, sebab itu dia hadiahkan saya motosikal mini.
“Bermula dengan perlumbaan motosikal mini, saya kemudian melangkah ke Cub Prix dalam kategori Cabaran Honda Future dan berjaya menjadi juara keseluruhan pada tahun 2014,” ujarnya.
Kemudian, Saiful Azhary melangkah ke kategori Wira dan CP115 selama beberapa tahun sebelum disambar pasukan Pink Racing pada musim lalu.
Selain CP125, Pink Racing turut mempertaruhkan tiga lagi pelumba muda berbakat iaitu Mohammad Irfan Danish Mohd. Afran, Danny Mikhail Khairul Fauzi dan Nur Dini Uzma Abdullah bagi mengibarkan cabaran pasukan tersebut dalam kategori Wira pada Cub Prix 2022.
Salah seorang pelumba yang bakal mencuri tumpuan para peminat arena permotoran negara adalah gadis berusia 17 tahun, Nur Dini Uzma.
Gadis berasal dari Melaka itu pernah bersaing kategori Yamaha NVX selama dua musim sebelum menyertai Pink Racing pada tahun 2022.
Nur Dini Uzma berkata, musim pertama dalam pasukan dan kategori baharu pastinya sangat mencabar, namun ia bukan penghalang kepadanya untuk berjaya.
“Ini tahun pertama saya dalam kategori Wira. Ia sangat berbeza berbanding kategori NBX terutama dari aspek jentera dan posisi badan ketika berlumba.
“Paling ketara adalah dari segi jentera kerana NBX gear automatik sementara kategori Wira saya perlu tunggang motosikal ada gear. Ia satu pengalaman baharu bagi saya.
“Tetapi ia bukan halangan kepada saya untuk membantu pasukan mengutip sebanyak mungkin mata pada setiap pusingan perlumbaan,” jelas gadis berkulit cerah tersebut.
Nur Dini Uzma turut melaungkan amaran kepada pesaing lain terutama golongan lelaki supaya tidak memandang rendah keupayaan pelumba wanita sepertinya.

KELIBAT gadis 17 tahun, Nur Dini Uzma bakal mencabar pelumba-pelumba lelaki.
Dalam pada itu, dia memaklumkan, cukup selesa dapat bekerjasama dalam Pink Racing dan menganggap pasukan tersebut bekerja seperti sebuah keluarga besar.
“Saya ada sebab tersendiri untuk menyertai Pink Racing. Pasukan ini seperti sebuah keluarga. Setiap masalah diselesaikan menerusi perbincangan,” ulasnya.
Prinsipal pasukan, Nur Atikah Azwar berkata, Pink Racing masih mengekalkan pelumba tahun lalu dalam CP125 bagi menghadapi cabaran 2022.
Jelasnya, Pink Racing meletakkan sasaran untuk memperbaiki kedudukan keseluruhan pasukan dalam kategori CP125 daripada kedudukan keenam pada tahun lalu.
“Sudah pasti kami mahu memperbaiki kedudukan sama ada dalam kategori pelumba atau pasukan menerusi team mekanik baharu yang lebih berpengalaman dalam Cub Prix pada tahun ini,” katanya.
Pasukan itu telah membuat perubahan drastik dalam kategori Wira dengan mempertaruhkan tiga pelumba baharu sebagai sebahagian daripada projek pembangunannya.
Menariknya, Pink Racing merupakan satu-satunya pasukan dalam kategori Wira yang menggunakan teknologi injection berbanding karburator.
Menurut Nur Atikah, ketiga-tiga pelumba baharu tersebut dipilih berdasarkan beberapa kriteria penting seperti disiplin, sikap dan cara berkomunikasi dengan kru.
“Tiga pelumba baharu kami adalah Danny Mikhail Khairul Fauzi, Md Irfan Danish Md Arfan dan Nur Dini Uzma. Mereka ini sebahagian daripada projek penyelidikan dan pembangunan kami.

PERSEDIAAN akhir kru Pink Racing bagi memastikan motosikal-motosikal dalam keadaan terbaik sebelum perlumbaan bermula.
“Kami pilih mereka disebabkan beberapa kriteria. Kami juga meletakkan syarat dalam kontrak agar para pelumba ini memberanikan diri tampil di depan kamera. Sebelum itu, kami beri latihan dahulu kepada mereka.
“Ia penting bagi pasukan kami memandangkan rata-rata penaja melihat Pink Racing sebagai medium pemasaran jenama mereka,” terangnya.
Sebelum mengakhiri bicara, Nur Atikah memberitahu, rata-rata pasukan pesaing sudah mula berasa tercabar dengan kemampuan pasukan Pink Racing.
Jelasnya, pada tahun lalu, Pink Racing dianggap sebagai sebuah pasukan pelengkap yang masuk ke dalam Cub Prix untuk meraih populariti dengan cepat.
“Sebagai pasukan baharu, persepsi negatif terhadap kami sentiasa ada.
“Saya melihat ia sebagai cabaran buat pasukan untuk membuktikan kemampuan sebenar,” tuturnya.














