fbpx

India pertimbang beli minyak mentah dari Rusia pada harga diskaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perdana Menteri India, Narendra Modi (kanan) dan Presiden Rusia, Vladimir Putin (kiri) bermesyuarat di Hyderabad House, New Delhi pada 6 Disember 2021. – AFP

NEW DELHI – India sedang mempertimbangkan untuk membeli bekalan minyak mentah dan beberapa komoditi lain dari Rusia pada harga diskaun selepas Barat mengumumkan sekatan ke atas komoditi itu minggu lalu, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Negara itu yang ketika ini mengimport 80 peratus daripada keperluan minyaknya kebiasaannya hanya membeli kira-kira satu peratus bekalan dari Rusia.

Bagaimanapun, dengan harga minyak mentah yang melonjak 40 peratus bagi tahun ini setakat ini, kerajaan India dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan perbelanjaannya dengan membeli minyak dari Moscow.

“Rusia menawarkan minyak mentah dan beberapa komoditi lain pada harga diskaun yang tinggi. Kami berbesar hati untuk menerima tawaran itu,” kata seorang pegawai kerajaan.

Beliau bagaimanapun enggan memperincikan mengenai kuantiti minyak mentah yang ditawarkan pada harga diskaun serta nilai diskaun yang diberi.

Pegawai tersebut menambah, perdagangan seperti itu memerlukan kerja-kerja persediaan termasuk pengangkutan, perlindungan insurans dan mendapatkan campuran minyak mentah yang betul.

“Apabila semua proses itu berjaya dilakukan, barulah kami akan menerima tawaran Rusia,” ujarnya.

Bagi tahun 2021, Iraq merupakan pembekal minyak mentah utama kepada India yang merangkumi 25 peratus daripada jumlah import minyak mentah negara itu.

Arab Saudi pula mengimport sebanyak 16 peratus, dan diikuti dengan Emiriyah Arab Bersatu sebanyak 11 peratus, Nigeria dengan lapan peratus dan Amerika Syarikat kira-kira tujuh peratus serta beberapa pembekal utama lain.

Sekiranya peluang itu diambil, India akan menjadi negara seterusnya yang menawarkan ‘talian hayat’ bagi sekatan ke atas Moscow selepas China memansuhkan sekatan import gandum pada hujung Februari lepas. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI